SINGAPURA: Sektor penjagaan kesihatan Singapura melaporkan beberapa insiden keselamatan siber melibatkan akses tanpa kebenaran kepada sistem teknologi maklumat (IT) enam entiti penjagaan kesihatan dan yang berkaitan dengannya, dengan Kementerian Kesihatan (MOH) memandang serius insiden berkenaan.
Entiti yang terjejas ialah sistem IT Advance Care Planning di bawah Agency for Integrated Care serta sistem Alliance Medinet, Doctor Anywhere Group, Fullerton Health Group, Minmed Group dan aplikasi mudah alih CARA milik Dementia Singapore.
“Pelanggaran keselamatan ini tidak menjejaskan operasi penjagaan pesakit,” menurut kementerian itu dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya pada Rabu.
MOH memaklumkan bahawa setakat ini, tiada bukti menunjukkan keselamatan dan penjagaan pesakit telah terjejas.
“Setakat pengetahuan kami, tiada akses tanpa kebenaran terhadap rekod kesihatan pesakit dalam insiden pelanggaran keselamatan ini. Bagaimanapun, MOH sedang membuat susulan dengan entiti yang terjejas bagi meneliti implikasi sepenuhnya daripada insiden berkenaan,” menurut kementerian itu.
Kementerian itu berkata entiti berkenaan turut bekerjasama rapat dengan perunding keselamatan siber masing-masing serta pihak berkuasa berkaitan, termasuk Agensi Keselamatan Siber Singapura dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi, bagi mengambil tindakan susulan.
MOH berkata pihaknya telah meminta Synapxe dan institusi penjagaan kesihatan awam supaya terus berwaspada serta meningkatkan pemantauan terhadap kemungkinan ancaman siber dalam sistem IT penjagaan kesihatan awam.
Synapxe ialah agensi teknologi kesihatan kebangsaan Singapura yang sebelum ini dikenali sebagai Integrated Health Information Systems (IHiS).
“Penyedia penjagaan kesihatan swasta juga perlu menyemak dan memperkukuh langkah keselamatan siber masing-masing bagi melindungi sistem serta maklumat kesihatan daripada kemungkinan ancaman siber,” menurut kementerian itu.
MOH berkata insiden berkenaan menekankan kepentingan untuk sentiasa berwaspada kerana walaupun pelbagai usaha dilakukan, setiap sistem IT masih terdedah kepada serangan siber yang dilakukan secara bersungguh-sungguh.
“Dengan kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), kelemahan sistem akan lebih mudah dikenal pasti, manakala serangan siber akan menjadi lebih kerap, pantas dan sukar ditangani,” menurut kementerian itu.
MOH turut mengingatkan semua institusi penjagaan kesihatan berlesen dan penyedia Sistem Pengurusan Maklumat Penjagaan Kesihatan supaya terus berwaspada, memperkukuh tahap keselamatan siber serta memastikan keselamatan dan integriti aset IT, sistem dan data pesakit masing-masing.
-- BERNAMA