ISTANBUL: Kerosakan alam sekitar akibat serangan Israel ke atas Lubnan melebihi AS$512 juta pada 2023 dan 2024, dengan kerugian tambahan turut direkodkan pada 2026, kata Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP31 di wilayah Antalya, selatan Turkiye, Salam berkata peperangan yang berlaku secara berturut-turut, ditambah dengan krisis ekonomi selama bertahun-tahun, telah memusnahkan infrastruktur, tanah pertanian, hutan dan ekosistem Lubnan.
“Kerugian alam sekitar akibat serangan Israel yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa melebihi US$512 juta pada 2023 hingga 2024, dengan kerugian tambahan dialami pada 2026,” katanya.
Perdana menteri itu memberi amaran bahawa kesan serangan berkenaan terhadap alam sekitar akan terus menjejaskan ekosistem dan mata pencarian masyarakat setempat selama bertahun-tahun.
Beliau menegaskan bahawa usaha pemulihan Lubnan tidak seharusnya terbatas kepada pembinaan semula rumah dan jalan raya yang rosak, sebaliknya perlu merangkumi pemulihan tanah pertanian, pemuliharaan semula ekosistem serta usaha memulihkan mata pencarian penduduk.
“Lubnan menegaskan bahawa pemulihan alam sekitar dan daya tahan terhadap perubahan iklim mesti menjadi sebahagian penting dalam usaha pembinaan semula, seiring dengan kestabilan, pemulihan kedaulatan negara dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.
COP31 bermula di Antalya pada Isnin dan berlangsung hingga 20 Nov, menghimpunkan pemimpin dunia serta perunding untuk membincangkan pembiayaan iklim, penyesuaian terhadap perubahan iklim dan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
-- BERNAMA-ANADOLU