SETIAP 12 Jun, Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia disambut bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada pergerakan global yang mempertahankan hak kanak-kanak daripada terus dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kanak-kanak telah dijadikan sebagai buruh paksa sejak sekian lama dan nasib mereka terus diberi perhatian hasil pengorbanan aktivis-aktivis serata dunia yang membela nasib anak-anak kecil ini termasuk dengan mengorbankan nyawa.

Untuk tahun ini, tema 'Keadilan Sosial untuk Semua. Tamatkan Buruh Kanak-Kanak!’ diangkat bagi menekankan hubungan antara keadilan sosial dan buruh kanak-kanak.

Berikut fakta penting berkenaan buruh dalam kanak-kanak di seluruh dunia: 

1. Progres mengurangkan buruh kanak-kanak

- Sejak tahun 2000, selama hampir dua dekad, dunia telah mencapai kemajuan yang stabil dalam mengurangkan buruh kanak-kanak.

- Namun, konflik, krisis, dan pandemik COVID-19 dalam beberapa tahun terakhir telah menyebabkan lebih banyak keluarga jatuh dalam kemiskinan dan memaksa jutaan kanak-kanak bergelut sebagai pekerja buruh.

2. Jumlah buruh kanak-kanak di seluruh dunia

- Ketika ini, terdapat 160 juta kanak-kanak  yang terlibat dalam sektor buruh.

- Hampir satu daripada 10 kanak-kanak di seluruh dunia terlibat dalam sektor buruh.

- Afrika menduduki tangga teratas dalam peratusan kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh, dengan satu dari lima anak terlibat.

- Jumlah kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh di Afrika adalah 72 juta.

- Asia Pasifik menduduki tangga kedua tertinggi dengan 7 peratus daripada semua kanak-kanak dan 62 juta kanak-kanak terlibat dalam sektor buruh di rantau ini.

3. Sebagian besar buruh kanak-kanak di Afrika dan Asia Pasifik

- Afrika dan Asia Pasifik menyumbang hampir sembilan daripada setiap 10 kanak-kanak  yang terlibat dalam sektor buruh di seluruh dunia.

- Bakinya, terbahagi di Amerika (11 juta), Eropah dan Asia Tengah (6 juta), dan negara Arab (1 juta).

-Dalam hal ini, berdasarkan peratusan, 5 peratus kanak-kanak terlibat dalam buruh kanak-kanak di Amerika, 4 peratus di Eropah dan Asia Tengah serta 3 peratus di negara Arab.

4. Buruh kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana

- Meskipun peratusan kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh paling tinggi dicatatkan di negara berpendapatan rendah, sebenarnya jumlah mereka lebih besar di negara berpendapatan sederhana.

- 9 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana ke bawah dan 7 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana ke atas terlibat dalam buruh kanak-kanak.

Berikut adalah gesaan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu sempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023:

1. Penekanan pada Keadilan Sosial dan Buruh Kanak-Kanak

- Pengalaman bersama selama tiga dekad terakhir telah membuktikan bahawa buruh kanak-kanak dapat dihapuskan jika punca asasnya ditangani.

- Kita semua perlu berusaha untuk membawa solusi terhadap masalah harian masyarakat, dan buruh kanak-kanak mungkin merupakan masalah yang paling jelas

2. Momen penting dalam mengakhiri buruh kanak-kanak

- Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023 adalah platform bersama untuk memberi komitmen mengakhiri buruh kanak-kanak bagi mencapai perubahan dalam kebersamaan.

3. Tuntutan Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023

- Menggesa tindakan global yang dikuatkan untuk mencapai keadilan sosial, terutama melalui kerjasama antarabangsa yang direncanakan, dengan penghapusan buruh kanak-kanak sebagai salah satu elemen pentingnya.

- Pengiktirafan universal Konvensyen ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) berkaitan umur minimum untuk memberikan perlindungan undang-undang kepada semua kanak-kanak dari segala bentuk buruh.


Justeru itu, PBB menyifatkan Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia sebagai detik untuk semua pihak komited menamatkan krisis ini dengan membawa perubahan yang boleh dicapai berlandaskan kemahuan dan keazaman bersatu dalam keadaan yang sangat mendesak.