LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) merekodkan 2,318 kes demam campak setakat Khamis, jumlah tertinggi dalam tempoh 35 tahun, menurut data terbaharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Daripada jumlah itu, 2,302 kes dilaporkan di 45 wilayah pentadbiran AS, manakala 16 lagi dikesan dalam kalangan pelawat antarabangsa, menurut CDC.
Angka terbaharu itu mengatasi 2,289 kes yang direkodkan sepanjang 2025.
CDC berkata hampir 93 peratus daripada kes yang disahkan tahun ini membabitkan individu yang tidak menerima vaksin.
Seramai 151 pesakit dimasukkan ke hospital, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Demam campak diisytiharkan telah dihapuskan di AS pada 2000, sebahagian besarnya hasil penggunaan meluas vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) yang selamat serta berkesan.
Bagaimanapun, kadar liputan vaksin MMR dalam kalangan murid tadika di AS menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini berada di bawah sasaran 95 peratus, dengan kadar jauh lebih rendah di sesetengah komuniti, menurut CDC.
Agensi itu memberi amaran bahawa peningkatan penularan demam campak di peringkat global meningkatkan risiko virus berkenaan dibawa masuk semula ke AS oleh pengembara yang tidak divaksin dan dijangkiti ketika berada di luar negara.
-- BERNAMA-XINHUA