KIGALI: Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo) telah melepasi 1,800, menurut data rasmi pada Sabtu, ketika virus berkenaan merebak ke wilayah keempat di bahagian timur laut negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Jumlah keseluruhan mencecah 1,830, termasuk 648 kematian, sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei, menurut kemas kini situasi oleh Kementerian Kesihatan.
Kira-kira 780 pesakit kini dalam rawatan manakala 284 orang telah pulih.
Wabak tertumpu di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
Kementerian itu berkata tindak balas terhadap Ebola berterusan di tiga wilayah dengan "koordinasi nasional yang diperkukuh, pengawasan epidemiologi dan mobilisasi komuniti."
Bagaimanapun, pada Jumaat, pihak berkuasa melaporkan wabak itu merebak ke wilayah Haut-Uele di timur laut Congo selepas tujuh kes maut disahkan di zon kesihatan Wamba.
Penderma dan rakan kongsi telah berikrar untuk menyumbang $US910 juta demi menyokong tindak balas Ebola di Congo dan Uganda di mana 20 kes telah dilaporkan.
-- BERNAMA-ANADOLU