ATHENS: Jumlah jangkitan virus Nil Barat di Greece meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh kira-kira dua minggu, menurut pihak berkuasa kesihatan Greece EODY pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Sebanyak 110 kes didaftarkan di seluruh negara setakat 12 Ogos, menurut agensi itu.
Pada akhir Julai, terdapat 42 kes. Sembilan orang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut, kesemuanya berusia lebih 65 tahun.
Sebanyak 81 daripada mereka yang dijangkiti mengalami penyakit sistem saraf pusat termasuk radang otak, meningitis (radang selaput otak) atau komplikasi neurologi lain.
Menurut EODY, kes dikesan terutamanya di kawasan besar Athens.
Virus Nil Barat disebarkan oleh nyamuk. Kebanyakan jangkitan berterusan tanpa gejala atau hanya menyebabkan simptom ringan.
Kes yang parah berlaku terutamanya kepada orang yang lebih tua dan mereka yang mempunyai keadaan sedia ada tertentu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini menyeru kewaspadaan terhadap virus itu ditingkatkan susulan beberapa kes demam Nil Barat di selatan Eropah dan Itali.
-- BERNAMA-dpa