STOCKHOLM: Lebih 240 orang di seluruh Eropah telah disahkan dijangkiti virus Nil Barat (West Nile) tahun ini, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Menurut laporan mingguan yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), sebanyak 241 kes jangkitan manusia telah dilaporkan sejak awal musim penularan sehingga Rabu lepas.
Menurut ECDC, 139 kes dilaporkan di Itali dan 61 di Greece. Jangkitan lain didaftarkan di Sepanyol, sebanyak 17 kes dengan 13 direkodkan di Macedonia Utara.
Romania mempunyai enam kes, Perancis (empat) manakala satu kes dilaporkan di Jerman.
Lewat bulan lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru kewaspadaan ditingkatkan berikutan beberapa kes demam Nil Barat di Eropah Selatan.
Menurut WHO, virus Nil Barat biasanya disebarkan antara nyamuk dan burung. Bagaimanapun, nyamuk yang dijangkiti juga boleh menggigit manusia dan menjangkiti mereka, kebiasaannya antara Julai dan September.
Menurut Institut Robert Koch (RKI), institut kawalan dan pencegahan penyakit Jerman, kebanyakan individu yang dijangkiti tidak menyedari mereka menghidap virus itu.
Sehubungan itu, penyelidik menganggap terdapat bilangan kes yang tidak dilaporkan yang tinggi. Dalam kes yang teruk, penyakit itu boleh menjejaskan sistem saraf yang membawa kepada keadaan seperti ensefalitis dan meningitis.
Penyakit Nil Barat tidak mempunyai vaksin atau ubat. Doktor hanya boleh merawat simptom. WHO menasihatkan pelancong untuk mengurangkan risiko gigitan nyamuk dengan memakai pakaian yang sesuai dan menggunakan bahan penghalau.
-- BERNAMA-dpa