Skip to main content

Dunia

Kesatuan bomba Perancis keluar amaran risiko 'bencana kesihatan' akibat kekurangan peralatan perlindungan

Firefighters use a hose on a burnt area as they battle a wildfire in Carcassonne, Aude department, amid worsening drought conditions following a heatwave and water shortages across much of France, August 2, 2026. REUTERS/Florion Goga
Anggota bomba menggunakan hos air di kawasan yang terbakar ketika memerangi kebakaran hutan di Carcassonne, susulan keadaan kemarau yang semakin meruncing selepas gelombang haba dan kekurangan bekalan air yang melanda sebahagian besar wilayah Perancis. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Kesatuan anggota bomba Perancis memberi amaran pada Ahad mengenai potensi berlakunya "bencana kesihatan" dalam kalangan petugas penyelamat berikutan kekurangan peralatan perlindungan diri ketika ribuan anggota terus berjuang memadamkan kebakaran hutan di seluruh negara, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar Franceinfo.

"Kami berada di ambang bencana kesihatan dalam kalangan anggota bomba," kata Jurucakap Kesatuan SUD, Remy Chabbouh.

Chabbouh berkata anggota bomba tidak mempunyai cukup penapis udara untuk melindungi mereka daripada asap, sambil menambah bahawa pasukan penyelamat terpaksa memadamkan kebakaran hutan "dengan hanya menutup mulut dan hidung menggunakan sehelai kain."

Beliau menggesa pihak berkuasa menangani situasi itu dengan segera bagi mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai "kematian jangka panjang."

Chabbouh turut memaklumkan empat anggota bomba terkorban semasa operasi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika ribuan anggota bomba terus dikerah untuk memadam kebakaran hutan di seluruh Perancis.

Di Jabatan Gironde, sehingga 3,300 anggota bomba dikerah bagi memadamkan kebakaran hutan yang dilaporkan pihak berkuasa telah berjaya dikawal pada Sabtu, menurut pihak pentadbiran wilayah .

Lebih 330 anggota bomba menerima rawatan perubatan, walaupun tiada kematian dilaporkan di kawasan berkenaan.

Sementara itu di Jabatan Var, kira-kira 1,500 anggota bomba meneruskan usaha menangani kemunculan semula api yang memarak pada Ahad.

Pihak pentadbiran wilayah memberitahu asap daripada kebakaran itu boleh dilihat di sebahagian besar wilayah berkenaan selain habuk debu jatuh meliputi kawasan yang luas. Pihak berkuasa turut mengagihkan topeng pelindung kepada penduduk di perbandaran yang terjejas.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement