KHARTOUM/ISTANBUL: Lebih 5,000 penduduk hilang tempat tinggal di 10 kampung di Darfur Barat, Sudan susulan keadaan keselamatan yang semakin meruncing dan pertempuran antara tentera dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan Matriks Penjejakan Perpindahan menganggarkan 5,135 penduduk melarikan diri dari kampung-kampung di kawasan Sirba, Darfur Barat setakat 8 Ogos susulan tercetusnya pertempuran di kawasan Bir Saliba.
Menurut IOM, majoriti isi rumah yang terjejas berpindah merentasi sempadan ke Chad.
Pada Sabtu, Gabenor Darfur Minni Arko Minnawi berkata tentera Sudan berjaya menangkis serangan besar-besaran RSF ke atas Bir Saliba.
Bir Saliba terletak di utara El Geneina, ibu negeri Darfur Barat, dan dianggap mempunyai kepentingan strategik berikutan kedudukannya di sepanjang laluan menuju ke bandar itu.
Kawasan berkenaan berulang kali menjadi medan pertempuran antara RSF dengan tentera Sudan serta pasukan sekutunya.
Pertempuran antara tentera Sudan dan RSF berterusan sejak 15 April 2023 susulan pertikaian mengenai usaha mengintegrasikan pasukan separa tentera itu ke dalam angkatan tentera tetap.
Konflik berkenaan telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sehingga akhir Jun 2026, IOM merekodkan kira-kira 8.69 juta penduduk hilang tempat tinggal di Sudan, selain lebih 4.64 juta orang yang telah kembali ke kawasan asal mereka di dalam negara atau pulang dari luar negara.
-- BERNAMA-ANADOLU