SETIAP orang tua pasti sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anak mereka hidup dengan selesa hingga sanggup berkorban nyawa.

Namun malangnya ramai pemuda cenderung melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka apabila sudah berjaya malah pada lewat usia, ibu bapa pula akan dihantar ke rumah penjagaan orang tua.

Sementara itu, pandangan yang berbeza daripada seorang graduan di sebuah universiti awam di Filipina, Mailyn Esquelito Akoy yang mempercayai kejayaannya itu adalah daripada hasil titik peluh bapanya yang bekerja sebagai seorang buruh.

Ucapan Akoy yang penuh emosi kepada bapanya dimuat naik di laman Facebooknya hingga mendapat perhatian netizen dan menjadi tular dengan gambar dan video bapanya.

“Meskipun rakan sekelas saya mempunyai bapa yang bekerja sebagai polis, doktor, cikgu, dan ayah saya hanya seorang buruh, sebaliknya saya tidak malu untuk menghargainya yang telah bekerja keras untuk membiayai pelajaran saya.

“Ya, bapa saya adalah seorang buruh yang mengangkat barang ke sana ke mari tetapi itu adalah perkara terbaik yang bapa saya lakukan. Setiap barang yang dipikul, ia adalah sumber pendapatan untuk saya malah setiap kesusahan yang dialaminya juga telah membuatkan saya belajar bersungguh-sungguh,” kata Akoy menerusi laman Facebooknya.


Menurut laporan media tempatan, Akoy mengakui kehidupannya yang miskin sejak kecil menjadi semakin sulit selepas rumah setinggan mereka terbakar.

Bagaimanapun perkara yang lebih menyedihkan buat Akoy apabila abangnya jatuh sakit dan meninggal dunia kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai wang membawanya ke hospital.

Meskipun mereka menjalani kehidupan yang susah, bapa Akoy kekal positif terus bekerja keras untuk memastikan anaknya mendapat ijazah dan sentiasa mempunyai makanan di atas meja.

Kini dia yang memiliki segulung sarjana muda sudah bersedia untuk membantu keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan.