AL ARISH: Penerbangan terakhir pesawat bantuan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bawah inisiatif Jambatan Udara Humaid yang membawa 100 tan bantuan makanan dan lebih 3,200 bungkusan makanan sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan UAE menerusi “Operation Chivalrous Knight 3”, tiba di Al Arish.
Agensi Berita Emiriah (WAM) melaporkan inisiatif itu bertujuan membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza serta meringankan penderitaan mereka.
Dengan ketibaan pesawat itu, Jambatan Udara Humaid yang beroperasi selama hampir dua bulan berakhir selepas menghantar sejumlah 600 tan bekalan bantuan dan makanan. Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan UAE dalam menyediakan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk Gaza.
Pasukan bantuan kemanusiaan UAE di Al Arish menyambut ketibaan pesawat berkenaan dan penghantaran itu dipindahkan ke pusat logistik bantuan kemanusiaan UAE di Al Arish sebagai persediaan untuk memasuki Gaza melalui mekanisme yang diluluskan, bagi memastikan bantuan disalurkan segera kepada penerima dan memenuhi keperluan asas keluarga terjejas.
Jambatan Udara Humaid merupakan antara inisiatif kemanusiaan yang dilancarkan atas arahan Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Ajman, Sheikh Humaid bin Rashid Al Nuaimi, dengan kerjasama Operation Chivalrous Knight 3, bagi membantu rakyat Palestin di Gaza dan menyediakan bantuan makanan segera menerusi penerbangan bantuan ke Al Arish sebelum bekalan dihantar masuk ke Gaza.
Sejak dilancarkan, Operation Chivalrous Knight 3 terus melaksanakan peranan kemanusiaan dalam membantu rakyat Palestin melalui pelbagai saluran bantuan udara, darat dan laut.
Operasi itu meliputi penghantaran bantuan makanan, perubatan dan bantuan kecemasan, selain pelbagai inisiatif kesihatan dan perkhidmatan, mencerminkan pendekatan kemanusiaan UAE yang sekian lama dalam membantu mereka yang memerlukan ketika krisis.
-- BERNAMA-WAM