WASHINGTON: Ketua CIA mengadakan lawatan sulit ke Kiev bagi berbincang mengenai strategi merampas semula wilayah Ukraine dari Rusia dan melaksanakan rundingan gencatan senjata dengan Moscow menjelang akhir tahun, lapor Sputnik.

Pengarah CIA William Burns bertemu dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy dan pegawai perisikan tertinggi Ukraine pada Jun lalu, The Washington Post memetik kenyataan seorang pegawai.

Menurut laporan, lawatan itu bertujuan untuk mengesahkan komitmen pentadbiran Biden dengan berkongsi maklumat risikan dan membantu Ukraine berdepan konflik.

Pegawai Ukraine memberitahu Burns bahawa mereka berhasrat untuk memindahkan sistem artileri dan peluru berpandu berhampiran garis sempadan Crimea, seterusnya ke timur Ukraine menjelang musim gugur.

Kiev juga berhasrat untuk mengadakan rundingan dengan Moscow buat kali pertama sejak rundingan antara kedua-dua pihak gagal pada Mac tahun lalu, menurut laporan itu.

Seorang pegawai Ukraine memberitahu media bahawa "AS bersetuju bahawa Ukraine harus mengadakan rundingan dari kedudukan yang kukuh."

CIA enggan mengulas apabila ditanya mengenai penilaian Burns terhadap rancangan Kiev.

Lawatan Burns berlangsung sejurus sebelum pemberontakan ketua Wagner Yevgeniy Prigozhin.

Pada pertengahan Jun, maklumat perisikan AS mengesan bahawa Prigozhin sedang merancang sesuatu, tetapi perkara itu tidak disampaikan kepada pegawai Ukraine.

Pada Jumaat, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Burns baru-baru ini menghubungi rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Naryshkin, untuk memaklumkan kepadanya bahawa Amerika Syarikat tidak terlibat dalam pemberontakan Prigozhin terhadap kerajaan Rusia.

--BERNAMA-SPUTNIK