Skip to main content

Dunia

Ketua Liga Arab beri amaran terhadap usaha Israel ubah realiti di wilayah Palestin diduduki

Arab League Secretary-General Nabil Fahmy attends a joint press conference on the day of the Arab Ministerial Committee meeting to discuss the situation in Jerusalem, in Amman, Jordan, August 5, 2026. REUTERS/Alaa Al Sukhni
Fahmy mengkritik keras strategi Israel yang menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mewujudkan fait accompli di lapangan dan meluaskan wilayahnya. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Fahmy pada Jumaat memberi amaran terhadap usaha Israel mengubah realiti di lapangan di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) yang memetik Egypt Today.

Fahmy mengkritik keras strategi Israel yang menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mewujudkan fait accompli di lapangan dan meluaskan wilayahnya.

Beliau menegaskan, serangan berterusan ke atas orang awam dan infrastruktur di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat yang diduduki, selain pelanggaran berulang terhadap kedaulatan Lubnan dan Syria, merupakan kesinambungan berbahaya dasar-dasar yang menggugat kestabilan serantau.

Beliau menjelaskan, penggunaan kekerasan yang semakin meluas dan pelanggaran kedaulatan negara-negara Arab tidak akan membawa keselamatan atau kestabilan kepada Israel. 

Sebaliknya, tindakan itu, katanya, akan meningkatkan ketegangan, memperluas skop konfrontasi dan menjejaskan keselamatan di seluruh rantau berkenaan.

Setiausaha agung itu menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara-negara Arab, menghentikan serangan terhadap Lubnan dan Syria serta menamatkan pendudukan di wilayah Arab, khususnya wilayah Palestin.

Beliau menegaskan semula bahawa keamanan dan kestabilan yang berkekalan memerlukan pematuhan tegas terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement