NEW YORK: Dalam mesej videonya pada Forum Belia ECOSOC (Majlis Ekonomi dan Sosial PBB) 2023, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Selasa menekankan perlunya golongan muda didesak supaya melibatkan diri dalam mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi dunia hari ini.

Guterres berkata dunia memerlukan golongan muda "lebih daripada sebelumnya", untuk terlibat dalam isu perubahan iklim, konflik, kemiskinan dan ketidaksamaan.

Beliau mengakui bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) "semakin tersasar daripada jangkauan", dan untuk itu pembangunan penyelesaian kepada cabaran ini merupakan daya penggerak perbincangan dalam forum itu, lapor Xinhua.

Pegawai tertinggi PBB itu juga bercakap mengenai Pejabat Belia PBB baharu yang akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dan taklimat dasar PBB yang dilancarkan minggu lepas mengenai Penyertaan Belia Secara Bermakna.

Taklimat dasar itu menyeru kerajaan supaya mengembang dan mengukuhkan penyertaan belia di semua peringkat membuat keputusan, mewujudkan mekanisme perundingan belia khusus di setiap negara dan piawaian global mengenai penyertaan belia yang bermakna.

Selain itu, Guterres menggesa negara anggota supaya memastikan penglibatan belia di tengah-tengah proses membuat keputusan PBB selain mengukuhkan saluran kritikal untuk penyertaan belia, termasuk Forum Belia ECOSOC.

Beliau juga menggesa penubuhan proses Dewan Perbandaran Belia PBB dan langkah-langkah lain untuk memastikan penyertaan belia yang pelbagai, berkesan dan mewakili semua yang dilakukan PBB.

Setiausaha Agung itu menekankan mengenai keperluan untuk golongan muda meminjamkan tenaga, idea, inovasi dan bakat mereka dalam persediaan untuk Sidang Kemuncak SDG pada September ini.

Dunia mengharapkan pemimpin mencapai komitmen konkrit, termasuk program yang jelas untuk menangani kemiskinan dan ketidaksamaan serta sokongan untuk pakej rangsangan besar-besaran bagi memastikan semua negara boleh melabur dalam kemajuan SDG.

Sebagai kesimpulan, Guterres menggesa golongan muda supaya membela SDG dan mengaktifkan rakan sebaya, keluarga dan komuniti mereka untuk bersama-sama membentuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Forum Belia ECOSOC 2023 yang sedang berlangsung dalam format hibrid dari 25-26 April di ibu pejabat PBB di New York, mengumpulkan lebih 1,000 pemimpin muda, aktivis dan organisasi belia dari seluruh dunia untuk terlibat dalam perbincangan mengenai bagaimana golongan muda boleh memainkan peranan penting dalam mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

Forum itu dianjurkan oleh presiden ECOSOC bersama Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB, Pejabat Duta Setiausaha Agung mengenai Belia, Kumpulan Utama untuk Kanak-kanak dan Belia dan Mesyuarat Penyelarasan Pertubuhan Belia Antarabangsa.

-- BERNAMA