BANGKOK: Beberapa letupan dan kebakaran baharu dilaporkan berlaku di kilang busa polistirene di pinggir Bangkok pada Selasa, walaupun selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Pihak bomba berkata kebakaran dapat dikawal pada 5 pagi (waktu tempatan) Selasa, lebih 24 jam selepas letupan berlaku 3 pagi pada Isnin.

Media tempatan melaporkan bahan kimia di kilang itu terbakar pada Selasa petang dan asap yang terhasil boleh memberi risiko kepada kesihatan menyebabkan pihak berkuasa memindahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang sukarelawan bomba turut terkorban dalam kejadian itu dan puluhan lagi cedera selain kediaman berdekatan mengalami kerosakan.

Sementara itu, pihak berkuasa bencana tempatan berkata siasatan awal mendapati 100 rumah dan 15 kereta rosak dalam kejadian tersebut

Sementara itu, Prof Madya Weerachai Phutdhawong dari Universiti Kasetsart berkata bahan kimia yang terkandung dalam asap itu, berbahaya dan boleh menyebabkan kanser, lapor Thai PBS.

Beliau menggesa penduduk memakai pelitup muka jenis N95.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan pihak berwajib untuk melakukan tinjauan mengenai kemungkinan berlakunya pencemaran.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran Atthapol Charoenchansa berkata pihaknya akan memantau rapat kualiti udara dan air di kawasan kilang tersebut selama tiga hari.

Katanya keadaan mungkin sukar dikawal jika hujan melanda kawasan itu.

Dalam satu kenyataan, Ming Dih Chemical Co Ltd memohon maaf atas kejadian itu dan menawarkan pampasan kepada mereka yang terjejas selepas siasatan selesai.

-- BERNAMA