SAMARKAND: Kolaborasi antara negara sedang pesat membangun perlu diperkukuh agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi masing-masing dalam kalangan negara yang terlibat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari sejak Jumaat lepas berkata dalam konteks hubungan Malaysia dan Uzbekistan, kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

"Meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara-negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata pada Sabtu beliau mengetuai delegasi Malaysia menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini, bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri Jamshid Khodjaev.

Menurutnya, semasa forum yang dihadiri lebih 200 tokoh industri dan ketua-ketua syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia dan Uzbekistan itu, beliau berkesempatan berdialog bersama para peserta bagi menjelaskan lebih lanjut tentang dasar dan hala tuju negara.

Antara yang menyertai forum tersebut termasuklah syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan melebihi RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat Malaysia seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.



Anwar turut berpandangan bahawa syarikat dan agensi di Malaysia perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi hanya dalam tempoh yang singkat.

Di luar forum itu Perdana Menteri berkata beliau dan Jamshid turut menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan yang turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.

" Insya-Allah, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia ini dijangka menjana hasil eksport sekurang-kurangnya RM710 juta, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Agensi-agensi perlu mempermudah dan menyegerakan urusan perdagangan ini," katanya.

-- BERNAMA