Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Israel ada Ketziot, Syria ada Sednaya

Alkhair Malaysia
Penulis berdiri paling kiri membelakangi Penjara Sednaya. - Foto Alkhair Malaysia

MEMASUKI Penjara Sednaya, di atas bukit yang tandus, 30 kilometer dari Damsyik, bukan benda mudah kerana ia perlukan kelulusan khas daripada kerajaan baharu Syria.

Bagi penduduk negara itu, namanya sahaja sudah cukup menggerunkan kerana sesiapa sahaja yang dibawa ke situ jarang sekali pulang dalam keadaan bernyawa.

Advertisement

Kubur mereka pula tidak pernah bertanda kerana jasad tahanan dilupus dengan bermacam-macam cara.

Jika bernasib baik, mereka dikuburkan dan dalam kebanyakan kes badan mangsa dikerat, dipadat dan dilupus menggunakan cecair kimia.

Berdasarkan maklumat daripada pegawai kanan Syria yang ingin dikenali sebagai Abu Ibrahim, lebih 500,000 rakyat negara itu telah ditahan dan kebanyakan mereka hilang tanpa dapat dikesan.

“16 mangsa dimasukkan secara berhimpit-himpit ke dalam sel khas dalam keadaan berdiri dan bogel.

“Selepas itu mereka akan dibawa keluar dipukul dan disiksa dengan macam-macam cara dengan menggunakan batang besi, kabel dan batang elektrik,” katanya sambil menunjukkan sel sebaik memasuki ruang dalam penjara.

Alat ini dikatakan diguna untuk memadat jasad tahanan yang dipotong sebelum dilupus menggunakan cecair kimia. - Foto ihsan Alkhair Malaysia

Daripada situ kami dibawa ke ruang bawah tanah dan beliau memberitahu tahanan dikurung dalam sel sempit dalam ruang kecil, tanpa makanan dan air selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke sel utama.

Setiap bilik menempatkan kira-kira 20 lelaki. Tiada katil, hanya mentol lampu tunggal dan tandas kecil di penjuru.

Segalanya dilarang, kerana sebarang bunyi perbualan boleh membawa kepada penyiksaan sampai mati.

“Pada hari pembebasan para pejuang telah datang ke sini dan menemui 1,500 orang tahanan.

“Kami cuba mencari sel-sel yang dikatakan berada di bawah tanah kerana ada yang mendakwa wujudnya ruang tersembunyi.

Sebaik Syria dibebaskan, para pejuang menggali untuk mencari bilik tahanan bawah tanah. - Foto ihsan Alkhair Malaysia

“Sebab itu kita lihat kesan-kesan menggali.

“Malangnya, tiada yang dijumpai”, kata Abu Ibrahim.

Masa yang singkat telah membataskan kami untuk meneroka lebih jauh sisa-sisa kezaliman yang ditinggalkan.

Sebaik keluar meninggalkan bangunan utama dan berada di kawasan lapang sambil menghala pemandangan ke Pergunungan Qalamoun, Abu Ibrahim meneruskan cerita.

“Di bawah Penjara Sednaya, ada sumber mata air. Pernah satu ketika penduduk sekitar mendakwa airnya bertukar merah dan berbau mayat.

“Kami percaya ia darah daripada mereka yang mati dibunuh dan ditanam di sini,” dakwanya.

Beberapa langkah kemudian, pemandu kami yang berasal dari Bukit Golan, Ahmad Tahan mencelah.

“Di penjara ini aku kehilangan tiga orang kaum keluarga,” katanya ringkas.

Kisah-kisah kezaliman ‘rumah sembelihan manusia’ adalah sebahagian titik hitam lipatan sejarah Syria.

Di dalam ruang sekecil ini, lebih 20 tahanan dikurung. - Foto ihsan Alkhair Malaysia

Penjara Sednaya yang terletak di atas bukit tandus dan dikelilingi kawat berduri, dibina pada awal 1980-an dan sekian lama digunakan untuk menahan penentang rejim keluarga Assad.

Selain kawalan rapi dengan 10,000 tentera bertugas 24 jam sehari, periuk api juga ditanam bagi mengelak tahanan melarikan diri.

Bahkan untuk mengelak sebarang maklumat bocor pada kemudian hari, arkitek dan mereka yang terbabit dengan pelannya dikatakan telah dibunuh oleh Hafiz Al-Assad.

Jika Israel mempunyai Penjara Ketziot untuk menyiksa dan membunuh penduduk Palestin tetapi di Syria, ada Penjara Sednaya yang digunakan keluarga Bashar untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sesiapa sahaja disyaki mempunyai kaitan dengan penentang Bashar atau sesiapa sahaja yang diragui atau mereka yang ditangkap secara rambang.

Berdasarkan laporan yang diterima daripada beberapa kerat yang terselamat pelbagai siksaan digunakan termasuk paksa melipat badan dengan tayar kenderaan menekan tubuh sebelum dipukul atau digantung terbalik dalam tong berisi air sehingga hampir lemas.

Beberapa tahanan turut mendakwa menyaksikan serangan seksual oleh pengawal, termasuk disula menggunakan kayu selain terpaksa menawarkan khidmat seks demi mendapatkan makanan tambahan.

Kini Syria telah bebas dan penjara yang pernah diberi jolokan ‘rumah sembelihan manusia’ telah dibiar kosong.

Selepas setahun, keluarga mangsa dan masyarakat antarabangsa masih menunggu tindakan selanjutnya daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) terhadap bekas pemimpin negara itu yang kebanyakan bersembunyi di luar negara.

Bagi rakyat Syria, Sednaya bukan sekadar sebuah bangunan konkrit di atas bukit tandus tetapi ia adalah simbol luka mendalam sebuah negara yang masih mencari jalan untuk sembuh.


  • Razali Awang merupakan Perunding Media Alkhair Malaysia.
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video