DUNIA
[KOLUMNIS] Jihad di Afghanistan.. bukan lagi dengan senjata
![[KOLUMNIS] Jihad di Afghanistan.. bukan lagi dengan senjata [KOLUMNIS] Jihad di Afghanistan.. bukan lagi dengan senjata](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/61755702609_jihadafghanistan.jpg)
Misi Afghanistan Kasih Tanpa Sempadan adalah manifestasi bahawa kesatuan akidah menjadi pengikat persaudaraan umat Islam, merentasi sempadan geografi, budaya, idealogi dan politik. - Foto ihsan Lila Ruzaini
PADA penghujung 70-an dan awal 80-an, selain kisah Perang Dingin, Perang Iran-Iraq, laporan berita antaranbangsa juga banyak terjurus kepada konflik di Afghanistan.
Kisah keberanian penduduk di kawasan pergunungan Kesatuan Soviet (sekarang Rusia) menjadi satu pengajaran kepada kuasa besar yang tidak mudah untuk menguasai negara berkenaan kerana pelbagai faktor khususnya muka bumi.
Jika Amerika Syarikat (AS) dimalukan di Vietnam selepas kejatuhan Saigon atau sekarang ini dikenali Ho Chin Minh pada 30 April 1975, nasib yang sama juga menimpa Moscow di Afghanistan.
Bermula dengan pencerobohan pada 25 Disember 1979, tentera Soviet akhirnya terpaksa keluar dengan keadaan yang memalukan daripada negara itu 15 Februari 1989.Bahkan Moscow seakan dimakan sumpah, kerana tidak lama selepas itu tembok besi yang dibangunkan oleh bekas Presiden Joseph Stalin, runtuh selepas negara yang sebelum ini membentuk Kesatuan Soviet keluar memerdekakan diri satu persatu dan hanya beberapa negara yang masih kekal untuk bersama Rusia.
Kemenangan di dua negara yang sebelum ini dipandang rendah oleh kuasa besar dunia membuktikan, segala kekuatan dan kecanggihan yang ada, ia tidak mampu menandingi semangat rakyat yang ingin bebas daripada penjajahan serta pengaruh asing.
Cuma dalam konteks ini selepas perang, Vietnam telahpun pergi jauh berbanding Afghanistan.

Foto: AP
Pada 2024, negara itu mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 7.09 peratus, melebihi sasaran tahunan oleh KDNK Dewan Nasioal, 6.5 peratus.
Kejayaan itu dikatakan dipacu oleh perkhidmatan dan pengeluaran industri yang menjadi pendorong utama pertumbuhannya.
Namun begitu, keadaan sebaliknya berlaku di Afghanistan.
Meskipun tentera Soviet berjaya dihalau keluar, keadaan di itu tidak mudah kerana kerajaan Komunis masih wujud sehingga 1992 dan ia terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah baharu.
Afghanistan mempunyai KDNK nominal kira-kira AS$20 bilion per kapitanya dianggarkan sekitar AS$500, menjadikannya salah satu negara dengan ekonomi global terkecil.
Ia menyebabkan kebanyakan penduduk hidup di bawah paras kemiskinan dengan akses terhad kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Foto: AP
Sebagai sebuah negara yang landskapnya berbilang kaum dengan 14 etnik berbeza di mana Pashtun mewakili 42% populasi, diikuti oleh Tajik (27%), Hazara (9%), Uzbek (9%), Turkmen (3%) dan lain-lain ia menjadi cabaran yang besar untuk menstabilkan sosio-politik yang telah lama berantakan.
Selepas beberapa siri peralihan kepimpinan, Taliban yang kembali berkuasa pada Ogos 2021 setelah mengalahkan tentera Republik Islam Afghanistan yang disokong dan dibantu AS, majoriti yang menyokongnya meletakkan harapan yang besar untuk bangkit.
Taliban yang ada ketika ini dikatakan lebih bersifat terbuka dengan kumpulan yang digulingkan AS pada 2001.

Foto: AP
Apa yang menarik, Rusia suatu ketika dahulu menjadi seteru menjadi negara pertama mengiktiraf Emiriah Islam Afghanistan pada Julai lalu.
Kini selepas empat tahun berkuasa, Taliban mewarisi kemiskinan selepas lima dekad negara itu terjebak dengan campur tangan asing dan perang saudara.
Ekonominya seakan terhenti apabila AS dan sekutunya melakukan sekatan manakala hartanya di luar negara dibekukan.
Seperti mana-mana negara yang dibencinya, White House menggunakan dua alasan untuk bertindak demikian, pertama peralihan kuasa secara ketenteraan adalah tidak sah manakala kedua pula dakwaan layanan buruk Taliban terhadap wanita di mana mereka dikatakan peluang pendidikan dan pekerjaan mereka telah dihalang.

Foto: AP
Keadaan geografinya yang bercerakah dengan persekitaran yang ekstrem diburukkan lagi dengan bencana alam seperti kemarau telah menyebabkan kekurangan makanan yang serius kerana ia banyak bergantung kepada pertanian dan penternakan.
Menurut laporan International Rescue Community 2025, 23.7 juta dari 41.13 juta penduduknya kini memerlukan bantuan kemanusian.
Dalam laporannya Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata hampir separuh daripada rakyat Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini untuk menangani keperluan kronik dan akut.
Mengulas mengenainya, Program Makanan Sedunia (WFP), menganggarkan lebih 500,000 kanak-kanak di negara itu berdepan dengan kekuarangan zat makanan.
Katanya, ekonomi yang rapuh, bencana alam yang berterusan, kejutan akibat perubahan iklim, serta ketidakstabilan politik serantau terus menghalang pemulihan daripada konflik selama beberapa dekad.
Keadaan yang berlaku turut memberi kesan kepada tahap pendidikan negara itu.

Foto: Lila Ruzaini
Menurut laporan yang disediakan Education Policy and Data Centre, kadar celik huruf di negara itu masih rendah di mana 47 peratus daripada mereka yang berusia 15-24 tahun boleh membaca dan menulis.
Jika suatu ketika dahulu, Afghanistan pernah menjadi medan jihad mempertahankan akidah dan maruah umat Islam, ketika ini ia diperlukan lagi.
Cuma pendekatannya bukan lagi dengan senjata.
Dalam keadaan segala daif, umat Islam di negara itu amat memerlukan sumbangan daripada luar untuk membantu membina masa depan.
Pertubuhan Alkhair Malaysia selaku sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), turut mengambil bahagian untuk membina masa depan saudara kita di sana.
Misi Afghanistan Kasih Tanpa Sempadan adalah manifestasi bahawa kesatuan akidah menjadi pengikat persaudaraan umat Islam, merentasi sempadan geografi, budaya, idealogi dan politik.
* Penulis ialah Razali Awang, Perunding Media Alkhair Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, atau berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami