DUNIA
[KOLUMNIS] Kegilaan Zionis di Gaza hanya dapat ditamatkan dengan operasi ketenteraan
![[KOLUMNIS] Kegilaan Zionis di Gaza hanya dapat ditamatkan dengan operasi ketenteraan [KOLUMNIS] Kegilaan Zionis di Gaza hanya dapat ditamatkan dengan operasi ketenteraan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81755499864_ZionisGazaOperas.jpg)
Bantuan kemanusiaan sangat terhad, dengan hanya 15 peratus daripada keperluan masuk ke Gaza, dan sebahagian besar dirampas oleh Israel. -Gambar fail/Alkhair Malaysia
PENINGKATAN serangan yang dilakukan rejim pengganas Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza nampaknya seakan tiada penghujung.
Ringkasan AI
- Serangan Israel ke atas Gaza semakin meningkat, menyebabkan lebih 62,000 kematian dan penderitaan berterusan kepada 2.4 juta penduduk.
- Bantuan kemanusiaan sangat terhad, dengan hanya 15 peratus daripada keperluan masuk ke Gaza, dan sebahagian besar dirampas oleh Israel.
- Mapim mencadangkan pembukaan sempadan dan campur tangan ketenteraan sebagai langkah menghentikan genosid, namun tiada pemimpin Arab tampil lantang menentang kekejaman tersebut.
Sejak lebih 22 bulan lalu, dianggarkan lebih 62,000 nyawa penduduk Gaza telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai rejim pengganas Zionis yang mana perbuatannya itu ‘direstui’ Amerika Syarikat.
Rakaman demi rakaman yang dimuat naik di pelbagai platform media, tetapi ia sedikitkan pun tidak mereda kesengsaraan penduduk di sana.
Bahkan dalam kejadian semalam sekurang-kurangnya 57 penduduk, termasuk 38 yang sedang mendapatkan bantuan makanan telah menjadi korban. Angka itu belum mengambil kira mereka yang meninggal dunia kerana kelaparan.
Sejak lebih 19 hari lalu, hanya 1,671 trak bantuan telah memasuki Gaza dari 11,400 buah yang diperlukan dengan membawa bekalan kemanusiaan sekitar 15 peratus.
Pada Rabu dan Khamis lepas, hanya 136 trak bantuan memasuki wilayah itu dan malangnya sebahagian besar telah dirompak oleh Israel dan konco-konconya.
Bagi memastikan kelangsungan 2.4 juta penduduk yang berada di tengah kemusnahan infrastruktur yang dicipta Zionis, ia memerlukan 600 buah trak bantuan setiap hari.
Bagaimanapun, perangkaan yang diberikan tidak memberi sebarang kesan kepada negara penjajah dan sekutunya AS yang turut bersekongkol merestui Tel Aviv menutup pintu sempadan, merampas, menafikan akses kemanusiaan dan dengan secara sengaja menyebabkan penderitaan orang awam.
Ketika tsunami yang mengutuk dan mencela Israel dan AS berlangsung merentasi benua sehingga ke Australia dan Amerika Selatan, keadaan yang sama tidak dirasai di negara yang berjiran dengannya seperti Jordan dan Mesir.
Walaupun ia ada dibuat di Amman dan Kaherah, tetapi cengkaman kuat pemerintah telah mengekang rakyat untuk menyuarakan sokongan dan desakan supaya tindakan segera dibuat untuk menghentikan genosid.
Sama ada Raja Abdullah atau Putera Mahkota Mohammed bin Salman mereka meneruskan lakonan untuk melindungi kedudukan dan kuasa dengan tunduk kepada AS sekali gus ‘bersemenda’ dengan Israel.
Sebab itu kalau ditoleh ke belakang, sejak Oktober 2023, kedua-dua mereka bak singa yang dipotong kuku, mengaum kuat tetapi tiada apa yang dilakukan!
Sehingga ke hari ini, pintu Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza masih belum dibuka sepenuhnya walaupun macam-macam auta dibuat Presiden Abdel Fattah al Sisi.
Mengulas mengenai keadaan itu. Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk menghentikan perang dan kesengsaraan di Gaza.
Antaranya pembukaan pintu sempadan bagi memastikan pengaliran bantuan kemanusiaan seperti makanan, makanan formula bayi dan peralatan kesihatan.
Apa yang menarik, beliau berpendapat dalam kegilaan Netanyahu dan pelampau Yahudi membersihkan Gaza daripada penduduk Palestin, campur tangan ketenteraan menjadi satu-satu cara untuk menghentikan pembunuhan yang berlaku di sana.
Idea itu mempunyai logik namun sehingga ke hari ini, tiada satu pun pemimpin Arab yang lantang ke hadapan untuk menghentikan genosid yang berlaku.
AS telah lama merancang untuk melindungi kewujudan negara haram Israel dengan membunuh pemimpin Arab yang anti-Zionis seperti Presiden Saddam Hussein dan Muamar Gadaffi.
Hari ini penduduk di negara berkenaan mulai sedar, kebebasan dan demokrasi yang dijanjikan White House dan Barat tidak lebih sekadar umpan.
Selepas berbelas tahun pemerintahan kedua-dua pemimpin berkenaan ditumbang, apa yang rakyat Iraq dan Libya dapat?
Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami