Ringkasan AI
- Abdul El-Sayed mencatat sejarah sebagai Muslim pertama dipilih ke Senat Michigan, mengatasi tekanan dan dana besar lobi pro-Israel seperti AIPAC.
- Kemenangan El-Sayed dan Zohran Mamdani menunjukkan calon yang mengkritik Israel masih mampu meraih sokongan pengundi, walaupun berdepan kempen agresif kumpulan pro-Israel.
- Tinjauan Pew Research Center 2026 mendapati 60 peratus rakyat Amerika kini berpandangan negatif terhadap Israel, mencerminkan perubahan sikap generasi muda.
KEMENANGAN Abdul El-Sayed dalam pilihanraya kerusi Senat di Michigan wajar dilihat bukan hanya kerana beliau mencatat sejarah sebagai orang Islam pertama dipilih ke dewan itu. Apa yang lebih menarik ialah bagaimana beliau berjaya mengharungi persaingan sebuah jentera politik yang sekian lama digeruni oleh calon-calon pilihan raya Amerika Syarikat iaitu lobi pro-Israel seperti AIPAC dan Kristian Kanan.
Menurut laporan Associated Press, hampir AS$30 juta dibelanjakan oleh AIPAC bersama kumpulan yang sehaluan dengannya untuk menyekat kemaraan El-Sayed dalam pemilihan calon Demokrat. Namun, wang yang sebegitu besar masih tidak mampu menyekat kemaraan el-Sayed untuk bertanding dan menang menewaskan calon Republikan, Mike Rogers, dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Keputusan itu membawa suatu pengajaran politik yang penting. Selama berpuluh-puluh tahun, ahli politik Amerika tahu bahawa mengkritik Israel secara terbuka boleh mengundang padah kepada kerjaya mereka. Mereka bukan sahaja berdepan kecaman, malah berisiko menyaksikan pihak lawan menerima dana kempen yang lumayan. Ada yang memilih untuk berdiam diri, bukan kerana bersetuju, tetapi kerana terlalu mahal harga yang perlu dibayar untuk bersuara.
Kini, sekurang-kurangnya, rakyat Michigan memperlihatkan bahawa pengaruh wang dan tekanan politik itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilawan.
Fenomena ini sama seperti yang berlaku pada hujung tahun 2025 apabila Zohran Mamdani memenangi jawatan datuk bandar New York. Pendirian beliau yang lantang membela rakyat Palestin dan mengutuk Israel dijadikan bahan serangan kempen pihak pro-Israel sepanjang kempen. Namun, pengundi lebih rasional dengan persoalan yang dekat dengan isu kehidupan mereka seperti sewa rumah yang membebankan, kos sara hidup dan masa depan warga bandar New York.
Mamdani dan El-Sayed datang daripada gelanggang politik yang sama iaitu anti Israel dan berlawan dengan AIPAC. Kedua-duanya membuktikan satu hakikat baharu bahawa seseorang calon tidak semestinya perlu tunduk kepada pendirian lobi pro-Israel untuk mendapat mandat rakyat. Mereka boleh memperjuangkan keadilan buat Palestin, sambil menawarkan dasar yang menjawab keresahan masyarakat Amerika sendiri.
Benar, adalah terlalu awal untuk mengatakan bahawa AIPAC sudah kehilangan gengaman meraka dalam politik di Amerika. Pengaruhnya masih besar, jaringan politiknya masih luas dan keupayaannya mengumpul dana tidak boleh dipandang ringan. Apa yang sedang berubah ialah kepercayaan “khurafat” bahawa menentang Pro- Israel pasti membawa kekalahan.
Perkembangan ini juga perlu dilihat bersama dengan perubahan sikap masyarakat Amerika terhadap Israel. Sokongan kepada negara itu selama ini tidak hanya datang daripada pertubuhan lobi pro-Israel. Sebahagian besar kekuatan politiknya turut bersandar pada kelompok Kristian kanan, khususnya penganut evangelikal kulit putih yang mempunyai pengaruh besar dalam Parti Republikan.
Bagi sebahagian kelompok tersebut, sokongan kepada Israel bukan sekadar soal kepentingan strategik Amerika di Asia Barat. Ia turut berkait dengan pegangan keagamaan dan tafsiran tertentu terhadap kepercayaan akhir zaman dalam akidah Kristian Protestant. Oleh kerana itulah sokongan kumpulan ini begitu teguh, sekalipun tindakan Genosida kerajaan Israel terhadap Pelestin mengundang bantahan masyarakat antarabangsa.
Namun, pandangan itu tidak lagi semestinya dikongsi oleh generasi muda Kristian Protesttan di Amerika. Tinjauan Pew Research Center pada April 2026, menunjukkan 60 peratus rakyat Amerika sekarang mempunyai pandangan negatif terhadap Israel. Sebaliknya, 65 peratus Protestan evangelikal kulit putih pula masih kekal menyokong Israel.
Angka-angka ini menggambarkan jurang yang ketara antara rakyat Amerika dan kumpulan Pro Israel beragama Protestan terutamanya dari Kristian Kanan. Ini menunjukan, kumpulan Kristian kanan mungkin masih mampu menggerakkan penyokong setianya, tetapi semakin sukar untuk menganggap bahawa pendirian mereka mewakili seluruh masyarakat Amerika, terutama dari generasi mudanya.
Satu lagi persoalan yang perlu dibincangkan juga ialah apakah perubahan dalam politik domestik Amerika seperti kemenangan Mamdan dan El-Sayed ini akhirnya mampu mengubah dasar luarnya terhadap Israel? Selama ini, hubungan Washington dengan Tel Aviv sering disebut sebagai “hubungan istimewa”.
Istilah itu bukan sekadar ungkapan diplomatik. Ia diterjemahkan melalui bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar, perlindungan politik di pentas antarabangsa dan kesediaan Washington mempertahankan Israel ketika negara itu menerima kecaman dunia. Pada 2016, pentadbiran Barack Obama memeterai komitmen bantuan keselamatan berjumlah AS$38 bilion bagi tempoh sepuluh tahun hingga tahun fiskal 2028, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Kongres.
Saya berpandangan bahawa hubungan sedemikian tidak akan berubah hanya kerana seorang datuk bandar atau seorang senator memenangi pilihan raya.
Dasar luar Amerika dibentuk oleh presiden, Kongres, institusi keselamatan, kepentingan strategik dan pelbagai kumpulan berkepentingan. Namun, perubahan besar selalunya bermula apabila perkara yang dahulu dianggap tidak boleh dipersoalkan akhirnya berani diperdebatkan secara terbuka.
Jika semakin ramai ahli Kongres berani menuntut supaya bantuan ketenteraan kepada Israel dikenakan syarat, maka perbahasan di Washington tidak lagi berkisar pada berapa banyak bantuan yang perlu diberikan, tetapi juga bagaimana bantuan itu digunakan. Jika semakin ramai pengundi mempersoalkan nasib orang awam Palestin, pentadbiran Amerika akan berdepan tekanan untuk menjelaskan mengapa Israel sering mendapat layanan yang tidak diberikan kepada negara lain.
Begitu juga di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Amerika tidak boleh selama-lamanya menuntut negara lain mematuhi undang-undang antarabangsa, sedangkan tindakannya sendiri terhadap Israel menimbulkan persoalan tentang keseragaman prinsip yang dipertahankannya. Percanggahan antara retorik hak asasi manusia dengan amalan dasar luar inilah yang semakin sukar diterima oleh sebahagian rakyat Amerika.
Kemenangan Mamdani dan El-Sayed, oleh itu, tidak bermakna pengaruh AIPAC atau Kristian kanan sudah berakhir. Namun, kedua-duanya mungkin menandakan bermulanya suatu peralihan yang lebih mendalam di mana kuasa menentukan batas perbahasan tentang kewajaran sokongan kepada Israel tidak lagi dimonopoli oleh kelompok yang selama ini paling berpengaruh seperti AIPAC.
Akhir sekali, pada hemat saya, pengaruh AIPAC dan Kristian kanan mula terhakis apabila ahli politik Amerika tidak lagi takut untuk mempertahankan hak Palestin, mengutuk Israel tapi masih memperoleh kepercayaan majoriti pengundi. Mamdani memperlihatkannya di New York. El-Sayed membawanya selangkah lebih jauh ke Senat.
* Profesor Dr Mohd Afandi Salleh adalah Naib Canselor UniMAIWP.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dalam bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.