Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Kesihatan memberi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju selepas ketiadaan wakil KKM di Dewan Rakyat hari ini.
- KKM menjelaskan ketiadaan tersebut berpunca daripada perubahan mendadak aturan mesyuarat dan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas mengemukakan soalan.
- Menteri Kesihatan tidak hadir kerana menghadiri majlis rasmi di luar kawasan, dan KKM memohon maaf atas kesulitan teknikal yang berlaku.
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib telah bertemu dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan dan memberikan jawapan terperinci secara bertulis bagi soalan ketiga untuk pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tindakan itu susulan ketiadaan wakil Kementerian Kesihatan (KKM) ketika sesi menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
KKM dalam kenyataan menjelaskan bahawa Hanifah Hajar tidak sempat memasuki Dewan Rakyat ketika giliran menjawab soalan ketiga susulan perubahan mendadak aturan mesyuarat, selain berada di ruang luar dewan untuk mengadakan perbincangan akhir bersama-sama pegawai kementerian sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.
"Namun begitu, soalan kedua terpaksa ditangguhkan pada saat-saat akhir susulan kelewatan Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Siti Mastura Muhammad) yang sepatutnya mengemukakan soalan tersebut.
"Kelewatan ini menyebabkan giliran Aturan Urusan Mesyuarat melangkau terus kepada soalan ketiga secara drastik. Perubahan aliran yang mendadak tanpa sebarang pemakluman awal daripada Setiausaha Dewan Rakyat ini menjadi punca utama timbalan menteri tidak sempat memasuki Dewan tepat pada waktunya," menurut KKM.
KKM memaklumkan bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga tidak dapat berada di Dewan Rakyat kerana terikat dengan tugasan rasmi di luar kawasan.
"Pada hari ini, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka," menurut KKM yang turut memohon maaf atas kesulitan teknikal tersebut.
Dalam pada itu, KKM sentiasa menjunjung tinggi kemuliaan institusi Parlimen dan menghormati hak semua Ahli Parlimen.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Zahir membangkitkan persoalan sama ada KKM bercadang menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan primer, termasuk pembinaan atau penaiktarafan klinik kesihatan di Wangsa Maju yang merupakan kawasan Parlimen berkepadatan tertinggi di Malaysia, iaitu 14,059 orang bagi setiap kilometer persegi.
-- BERNAMA