Ringkasan AI
- Bekas juara dunia Formula Satu, Alan Jones dari Australia, meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas mengalami masalah kesihatan dalam tempoh singkat.
- Kematian juara dunia F1 1980 itu diumumkan keluarganya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Motorsport Australia.
- Sepanjang kariernya, Jones mencatat 12 kemenangan Grand Prix dan meraih kejuaraan dunia bersama pasukan Williams.
LONDON: Bekas juara dunia Formula Satu (F1) Alan Jones dari Australia meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas mengalami masalah kesihatan dalam tempoh singkat, lapor PA Media/dpa.
Kematian juara dunia F1 1980 itu diumumkan keluarganya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Motorsport Australia.
Sepanjang kariernya bersama beberapa pasukan termasuk Hesketh, Williams dan Arrows, Jones mencatat 12 kemenangan Grand Prix serta meraih kejuaraan dunia bersama Williams.
"Kami amat sedih mengumumkan pemergian Alan yang kami kasihi pada 5 Nov selepas mengalami sakit dalam tempoh singkat," kata isterinya Amanda Butler-Davis.
"Pemergiannya amat dirasai dan beliau akan sentiasa dikenang oleh insan terdekat serta ramai peminat yang selama ini memberikan sokongan, sesuatu yang amat dihargainya.
"Alan mengabdikan hidupnya kepada sukan permotoran dan meninggalkan legasi yang akan terus kekal menerusi ramai insan yang pernah disentuh kehidupannya.
"Menerusi pencapaian, semangat dan keperibadiannya yang tersendiri, sama ada di dalam mahupun di luar litar, Alan meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap sukan itu, bukan sahaja di Australia malah di seluruh dunia.
"Sebagai sebuah keluarga, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup Alan atas persahabatan, kasih sayang dan sokongan selama bertahun-tahun. Beliau amat bertuah kerana dikelilingi begitu ramai insan yang baik," katanya.
Jones meninggalkan seorang isteri dan enam anak.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa