Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan CSA dengan Dajjal sebagai tidak wajar.
- Anwar menegaskan kenyataan tersebut tidak sepatutnya digunakan untuk menghukum individu atau kumpulan, terutama dalam isu berkaitan agama.
- Beliau turut mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi kerana cadangan memorandum persefahaman itu asalnya dikemukakan oleh Perikatan Nasional yang dianggotai Pas.
AYER KEROH: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Dajjal, sebagai tidak wajar.
Perdana Menteri berkata penggunaan istilah sedemikian untuk menghukum individu, kumpulan atau sesuatu pendirian tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi apabila perkara itu membabitkan agama.
“Sepatutnya kenyataan dia (Abdul Hadi) itu lebih terkawal. Mereka cuba jawab, dia bukan tuju kepada saya. Tak apa, tetapi untuk menghukum orang atau kumpulan atau pendirian sebagai Dajjal, itu tidak kena.
“Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, d sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kenyataan Ahli Parlimen Marang itu juga menimbulkan persoalan memandangkan cadangan awal berkaitan memorandum persefahaman (MoU) itu dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai Pas.
Ujar Perdana Menteri, cadangan berkenaan dikemukakan oleh PN bersama beberapa pemimpin ketika itu termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tegas Anwar, draf sama turut digunakan untuk dibawa ke peringkat rundingan.
“Siapa yang mengemukakan kertas cadangan memorandum persefahaman ini adalah PN, yang dianggotai Pas juga ketika itu, Bersatu, dan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH). Kemudian kita meterai.
“Jadi macam mana sekarang bila dia buat, tidak Dajjal. Bila orang buat, jadi Dajjal. Ini masalah dia,” katanya.
Pada 3 November lalu, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu 'pendekatan Dajjal' kerana dianggap mengkhianati amanah.
Beliau mendakwa negara seluruh dunia menerima amalan segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.
Kerajaan pada minggu lalu memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.
Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting.