KOTA BHARU: Sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor, di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima maklumat awal mengenai kejadian itu daripada MERS 999 pada 12.40 tengah hari sebelum anggota polis dan pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira enam ekar dengan tahap kemusnahan yang berbeza-beza.
“Anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan sedang dalam proses penilaian oleh pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi, asap dan api mula dikesan kira-kira 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas disebabkan kedudukan rumah yang berhampiran antara satu sama lain.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menerima panggilan kecemasan pada 12.34 tengah hari tiba di lokasi enam minit kemudian dan berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 5.30 petang.
"Operasi pemadaman melibatkan 38 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Kota Bharu dan Tunjong serta pasukan bomba sukarela Kota Bharu.
Mohd Yusoff berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pasukan forensik JBPM bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
-- BERNAMA