BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun membuat rayuan langsung kepada pemerintah dan rakyat Israel supaya kembali ke meja rundingan bagi menamatkan konflik yang berterusan.
Dalam wawancara bersama CNN yang disiarkan pada Isnin, beliau menegaskan, penyelesaian ketenteraan tidak akan menjamin keselamatan.
“Jika anda bersedia, mari kita duduk dan berbincang,” kata Aoun, sambil menambah Lubnan bersedia dan komited untuk mencapai penyelesaian damai.
Ketika ini, kerajaan Lubnan sedang mengadakan rundingan langsung dengan Israel yang dikendalikan oleh Amerika Syarikat sebagai perantara untuk mencapai gencatan senjata penuh, walaupun usaha itu ditentang pasukan pejuang Hezbollah yang masih bertempur dengan tentera Israel di selatan Lubnan.
Aoun turut menegaskan, beliau tidak akan bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selagi tiada persetujuan dicapai untuk menamatkan perang.
Menurutnya, sebarang perjanjian yang dicapai kelak akan berbentuk pakatan tidak saling menyerang, bukannya perjanjian damai penuh.
“Kita perlu menamatkan permusuhan antara Lubnan dan Israel selama-lamanya. Perjanjian ini boleh menjadi laluan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.
Beliau turut menyatakan Lubnan akan bergerak seiring dengan Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang menawarkan normalisasi hubungan dengan Israel sebagai tukaran kepada penubuhan negara Palestin serta pengunduran Israel dari wilayah yang diduduki.
Namun, Aoun mengingatkan bahawa proses tersebut memerlukan langkah berperingkat dan tidak boleh dilaksanakan secara mendadak.
Konflik tercetus sejak Mac, ribuan terbunuh
Peperangan tercetus pada 2 Mac 2026 apabila Hezbollah melancarkan serangan terhadap Israel sebagai sokongan kepada sekutunya, Iran.
Israel bertindak balas dengan serangan udara dan operasi darat yang menyebabkan sebahagian besar wilayah selatan Lubnan dikuasai tentera Israel.
Sehingga kini, lebih 3,600 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih satu juta penduduk Lubnan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat serangan tersebut.
Walaupun gencatan senjata diumumkan Amerika Syarikat pada 16 April 2026, pertempuran masih berterusan dengan Lubnan mendakwa Israel melancarkan hampir 3,500 serangan sejak itu.
Pada Ahad, Israel melancarkan serangan ke atas pinggir selatan Beirut sebagai tindak balas terhadap serangan Hezbollah di utara Israel, sekali gus mencetuskan pertukaran serangan langsung selama 24 jam antara Iran dan Israel yang berpotensi menggagalkan usaha diplomatik Washington.
Lubnan dakwa rakyat jadi mangsa kepentingan Iran
Dalam wawancara sama, Aoun menegaskan, Lubnan mahu mengekalkan hubungan baik dengan Iran berasaskan prinsip saling menghormati serta tidak mencampuri urusan dalaman.
Namun, beliau mendakwa rakyat Lubnan menjadi mangsa dalam konflik tersebut demi kepentingan Iran.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini, Aoun turut menuduh Tehran menggunakan Lubnan sebagai ‘alat tawar-menawar’ dalam rundingan dengan Amerika Syarikat, antara kritikan paling keras beliau terhadap Iran setakat ini. - Agensi