Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Presiden Joseph Aoun tuduh Iran guna Lubnan sebagai ‘alat tawar-menawar’ dalam rundingan damai dengan AS

Lebanese President Joseph Aoun attends a press conference at the presidential palace in Baabda, Lebanon, February 16, 2026. REUTERS/Mohamed Azakir
Menurut Aoun, tindakan Iran menyebabkan rakyat Lubnan menanggung kesan akibat konflik yang berlarutan. - Gambar Reuters

BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun menuduh Iran menggunakan negaranya sebagai “alat tawar-menawar” dalam rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS).

Dalam wawancara yang disiarkan pada Isnin, Aoun secara terbuka mengkritik peranan Iran, khususnya Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang merupakan penyokong utama Hezbollah.

Beliau menegaskan Lubnan bukan milik mana-mana pihak luar.

“Ia bukan negara kamu, ia negara kami,” katanya.

Menurut Aoun, tindakan Iran menyebabkan rakyat Lubnan menanggung kesan akibat konflik yang berlarutan.

“Anda tidak membantu kami... rakyat Lubnan yang membayar harga demi kepentingan anda sendiri,” katanya lagi.

Aoun turut menegaskan komitmennya untuk menyelamatkan negara itu daripada konflik serta kesediaannya untuk meneruskan rundingan bagi menamatkan perang.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran kepada Israel bahawa keamanan tidak akan tercapai sekiranya konflik berterusan.

“Jika anda tidak komited, anda tidak akan hidup dalam keamanan, keselamatan dan kestabilan,” katanya.

Selain itu, Aoun turut mengkritik strategi ketenteraan Israel dalam usaha menumpaskan Hezbollah, dengan menyatakan ia tidak akan berjaya selagi Israel tidak berundur dari Lubnan.

“Mereka boleh menceroboh seluruh negara, mereka boleh memusnahkan seluruh negara, tetapi mereka tidak akan mencapai objektif mereka,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menolak dakwaan tersebut dengan menyifatkan kenyataan Aoun tidak tepat.

Beliau berkata, jika Lubnan benar-benar digunakan sebagai alat tawar-menawar, perjanjian sudah lama dicapai.

Araghchi turut membidas kenyataan Aoun dengan mendakwa seolah-olah Iran yang menduduki sebahagian wilayah Lubnan dan mengebom negara itu setiap hari. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement