Skip to main content

Dunia

Komuniti ASEAN rai Festival Musim Panas ASEAN 2026 di Astana

ASEAN SUMMER FESTIVAL 2026 IN ASTANA The Astana ASEAN Committee (AAC) invites you to experience the vibrant cultures and traditions of Southeast Asia at the ASEAN Summer Festival 2026!
Penganjuran festival tahun ini berlangsung ketika hubungan Malaysia-Kazakhstan terus menunjukkan perkembangan positif. - Foto Facebook/Malawakil Astana
Advertisement

KUALA LUMPUR: Komuniti ASEAN di Astana, Kazakhstan meraikan Festival Musim Panas ASEAN 2026 pada Sabtu sebagai sebahagian daripada platform diplomasi awam untuk mempromosikan dan mendekatkan blok serantau itu kepada masyarakat tempatan.

Festival kali kedua anjuran Jawatankuasa ASEAN di Astana (ACA) yang terdiri daripada Kedutaan Besar Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam turut menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran  lebih seribu pengunjung di Pusat Kebudayaan Indonesia di Astana.

Kedutaan Besar Malaysia di Astana dalam satu kenyataan berkata penyertaan Malaysia dalam festival itu menyokong agenda nasional Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan pengalaman unik.

Reruai Malaysia turut menawarkan pelbagai juadah tempatan yang disediakan oleh ahli PERWAKILAN Astana selain produk dan kraftangan Malaysia sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati cita rasa Malaysia serta mengenali khazanah budaya dan warisan negara dengan lebih dekat.

“Penganjuran Festival Musim Panas ASEAN 2026 mencerminkan komitmen ACA untuk meningkatkan keterlihatan ASEAN di Kazakhstan, di samping memperkukuhkan hubungan antara rakyat ASEAN dan Kazakhstan.

“Inisiatif ini turut menyokong dan mendukung usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, kebudayaan serta hubungan antara rakyat dengan rakyat,” katanya.

Para pengunjung turut disajikan dengan demonstrasi persembahan seni mempertahankan diri Muay Thai dengan penampilan khas oleh Buakaw Banchamek, juara dunia dua kali K-1 World MAX; persembahan pencak silat, bengkel batik, persembahan muzik, nyanyian dan tarian, demonstrasi masakan; serta jualan juadah istimewa dari negara anggota ACA.

Penganjuran festival tahun ini berlangsung ketika hubungan Malaysia-Kazakhstan terus menunjukkan perkembangan positif.

Pada tahun 2025, perdagangan dua hala terus meningkat sebanyak 58.9 peratus dan merekodkan nilai perdagangan tertinggi setakat ini yang mencerminkan pertumbuhan positif hubungan ekonomi kedua-dua negara.

Malaysia melihat Kazakhstan sebagai rakan penting di Asia Tengah dan terus meneroka peluang kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan tinggi, industri halal, ekonomi digital serta perbankan Islam.

Dalam konteks yang lebih luas, hubungan Malaysia - Kazakhstan yang semakin kukuh secara langsung menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan ASEAN dengan Asia Tengah, termasuk dalam bidang keterhubungan, ekonomi digital dan keselamatan makanan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement