DUA letupan dilaporkan berlaku di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang termasuk kanak-kanak, pada Khamis.

Reuters melaporkan letupan dipercayai oleh pengebom bunuh diri itu turut mencederakan lebih 60 yang lain, ketika banyak negara sedang mempercepat usaha pemindahan keluar rakyat mereka serta warga Afghanistan yang mahu mendapat perlindungan di luar negara.

Jurucakap Taliban berkata, letupan berkenaan mencederakan sejumlah anggota mereka.

Selain itu, pegawai Amerika Syarikat (AS) juga dilapor berkata, laporan awal turut mendapati terdapat warga AS yang cedera.

Pemeriksaan masih dijalankan dan angka korban mungkin meningkat.

Perincian mengenai letupan itu belum jelas, namun BBC melaporkan saksi mendengar tembakan dilepaskan di tempat kejadian.

White House memaklumkan sudah memberikan maklumat awal mengenai insiden itu kepada Presiden Joe Biden.

Sementara itu, seorang diplomat Barat di Kabul sebelum ini, mengatakan kawasan di luar gerbang lapangan terbang itu masih sangat sesak walaupun terdapat amaran mengenai kemungkinan serangan, sebelum ini.

Beberapa pegawai AS mengatakan bahawa letupan itu kelihatan seperti serangan bunuh diri dan seorang saksi di Kabul menyaksikan ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak yang cedera menunggu rawatan di luar hospital.