HANG TUAH JAYA: Kemudahan tahanan rumah tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara adil kepada semua banduan yang layak.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan kemudahan itu tidak boleh mewujudkan layanan dua darjat, khususnya antara banduan kaya dengan mereka yang kurang berkemampuan.
“Jangan ada dua darjat hal banduan sekarang dan akan datang. Sebab kalau orang yang dimasukkan penjara itu orang kaya, dia boleh bayar denda, maka dia boleh duduk di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah ‘Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita’ di sini, hari ini.
Difahamkan, kenyataan itu merujuk kepada keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, susulan pengampunan bersyarat yang diterimanya.
Mohamad berkata, isu berkenaan turut mendapat perhatian meluas masyarakat apabila menjadi bahan perbincangan di pelbagai platform media sosial termasuk TikTok.
Menurutnya, prinsip kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi asas dalam menentukan hak dan layanan terhadap setiap banduan tanpa mengira latar belakang.
“Biarlah rakyat ada hak di bawah Perlembagaan yang sama. Itu yang saya cuba tonjolkan,” katanya.
Mohamad turut membangkitkan isu kesesakan penjara dengan menyebut angka 75,000 banduan, namun statistik Kementerian Dalam Negeri pada September lalu menunjukkan jumlah penghuni penjara mencecah kira-kira 93,000 orang.
“Kalau enam tahun, tiga tahun di dalam penjara, tiga tahun di luar, itu serah kepada pengamal undang-undang untuk membincangkannya.
“Kalau boleh berlaku kepada seseorang, kita harap dia dapat berlaku kepada sekalian rakyat,” katanya lagi.