AFGHANISTAN kini sedang berdepan masalah kemanusiaan yang serius.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru agar negara-negara membenarkan semua transaksi yang diperlukan bagi kerja-kerja bantuan kemanusiaan di negara itu dapat dilakukan.

Beliau turut mendesak agar sebarang peraturan atau syarat yang menyekat operasi bantuan ditarik seketika ketika jutaan warga negara itu berisiko alami kebuluran.

"Kita perlu membatalkan peraturan dan syarat yang menyekat bukan sahaja ekonomi Afghanistan, tetapi operasi menyelamatkan nyawa.

"Dalam keadaan mendesak ini, peraturan ini mesti dikaji semula dengan serius. Pembiayaan antarabangsa mesti dibenarkan untuk membayar gaji pekerja sektor awam.

"Daripada pakar bedah dan jururawat, hingga guru, pekerja sanitasi dan juruelektrik - semuanya penting untuk memastikan sistem sentiasa berfungsi.

"Dan mereka penting untuk masa depan Afghanistan. Kita perlu memastikan mereka boleh terus tinggal di negara itu," katanya di New York pada Rabu.

Guterres berkata, perkara itu harus disegerakan kerana jika terlewat, akan mengorbankan lebih banyak nyawa.

Ini jelasnya, dengan kejatuhan ekonomi Afghanistan, ia boleh membawa kepada penghijrahan rakyatnya secara besar-besaran ke negara lain.

Dianggarkan kira-kira 9.5 bilion dolar Rizab Bank Pusat Afghanistan kekal disekat di luar negara dan bantuan antarabangsa dilaporkan berkurangan sejak Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos.

PBB pada awal bulan ini turut merayu dana 4.4 bilion dolar untuk bantuan kemanusaan bagi Afghanistan untuk tahun ini.

Pada Rabu, PBB turut memaklumkan, pertubuhan itu memerlukan dana tambahan 3.6 bilion dolar bagi sektor kesihatan dan pendidikan, infrastruktur asas, perpaduan sosial dan keperluan untuk wanita serta kanak-kanak.