SANAA: Pasukan Tentera Ansarullah di Yaman memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan serangan ketiga peluru berpandu ke atas Israel dengan kerjasama Iran serta Hezbollah dari Lubnan.
Jurucakapnya Yahya Sarea berkata kumpulan itu melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah sasaran sensitif di selatan Israel.
Advertisement
“Tindakan musuh yang terus meningkatkan pencerobohan, jenayah dan serangan terhadap Lebanon, Iran, Iraq serta Palestin, hanya akan mendorong Yaman selaku negara bebas dan bermaruah untuk meningkatkan lagi serangan di masa hadapan.
"Sehingga segala bentuk pencerobohan dihentikan dan sekatan ditarik balik,” katanya menerusi siaran televisyen hari ini.
Namun pihak Israel sehingga kini tidak mengesahkan lokasi yang terkesan akibat serangan Ansarullah.
Ansarullah atau digelar Yaman Houthi secara rasmi menyertai sekutunya Iran dan Hezbollah menentang Israel bermula awal minggu ini.
Kumpulan tersebut turut mengawasi laluan strategik perdagangan Selat Bab Al-Mandeeb berhampiran Yaman yang kini menjadi tumpuan selepas Selat Hormuz hanya dibuka kepada negara sekutu Iran sahaja.
Untuk rekod, sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, ratusan peluru berpandu dari arah Iran dan kumpulan Hezbollah disasarkan ke beberapa bandar Israel.
Antara bandar yang menjadi sasaran ialah Tel Aviv, Haifa, Beersheba, Holon, Bat Yam, Yehud, dan kawasan sekitar Jerusalem.
Agensi Al-Jazeera melaporkan 24 warga Israel maut dan 6,239 cedera akibat serangan.