KUALA LUMPUR: Di sebalik niat untuk menjadikan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai penarik lebih banyak sokongan buat UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kini ia beralih menjadi beban tambahan kepada parti itu dengan imej rasuah semakin kuat terpalit.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, usaha untuk mengangkat naratif berkaitan penahanan rumah bekas Presiden UMNO itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan parti berkenaan dalam mendekati pengundi menjelang PRU16.
Walau bagaimanapun, jelasnya, tumpuan yang diberikan terhadap isu itu, termasuk perbincangan mengenai inisiatif bantuan dana bagi menampung denda beliau, menerima reaksi yang pelbagai daripada masyarakat umum serta memerlukan penelitian mendalam daripada sudut strategi parti.
“Perkembangan ini memperlihatkan cabaran yang dihadapi oleh UMNO dalam mengimbangi usaha membela kebajikan bekas pemimpin mereka dengan agenda memperkukuh semula imej parti yang berteraskan integriti.
“Bagi memastikan sokongan terus mampan, penyusunan semula strategi komunikasi mungkin diperlukan agar hasrat murni parti dapat difahami dengan lebih jelas oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular satu klip video yang memaparkan kenyataan seorang pelajar Universiti Malaya (UM) mengenai skandal Tabung Haji dan kutipan derma bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta menarik perhatian orang ramai.
Pelajar itu meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng juga sebelum ini membidas Jabatan Penjara mengarahkan Najib tidak mendedahkan syarat tahanan rumahnya di bawah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Lim berkata, syarat tahanan rumah Najib bukan rahsia negara dan tidak patut dirahsiakan, sambil menyifatkan tindakan itu 'mengarut.
Mengulas lanjut, Misrinah berkata, UMNO sepatutnya membiarkan keadilan Najib berjalan dengan sendirinya mengikut proses undang-undang sedia ada tanpa ada cubaan untuk menannguk di air keruh yang akhirnya akan melemahkan parti itu sendiri.