Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Delegasi Iran keluar dari lokasi rundingan selepas ancaman Trump

Minister of Foreign Affairs of Iran Abbas Araqchi, and Speaker of Iran Mohammed Bagher Ghalibaf with the delegation of Iran at the Lake Lucerne Summit at the Buergenstock resort in Obbuergen, near Lucerne, Switzerland, Sunday, June 21, 2026. URS FLUEELER/Pool via REUTERS URS FLUEELER/Pool via REUTERS
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf bersama delegasi Iran pada Sidang Kemuncak Tasik Lucerne di resort Buergenstock, Obbuergen, berhampiran Lucerne, Switzerland, pada Ahad, 21 Jun 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

BUERGENSTOCK, SWITZERLAND: Delegasi Iran pada Ahad dilaporkan keluar dari lokasi rundingan di Switzerland selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengeluarkan ancaman untuk menyerang republik Islam itu susulan sokongannya terhadap Hezbollah.

Rundingan antara Washington dan Tehran yang bertujuan menamatkan konflik Asia Barat secara kekal itu dijadual mencetuskan tempoh 60 hari bagi menyelesaikan isu-isu utama yang telah sekian lama membelenggu hubungan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, perbezaan pandangan terhadap isu-isu kritikal serta ancaman pembukaan semula konflik di Lubnan menjejaskan kemajuan rundingan, dengan kedua-dua pihak dilihat saling mengeluarkan kenyataan keras sepanjang proses berkenaan.

Media kerajaan Iran melaporkan, delegasi negara itu meninggalkan bangunan rundingan selepas pertemuan dengan pihak Qatar yang bertindak sebagai pengantara. 

Pada masa sama, Trump menerusi platform X mengulangi ancamannya terhadap Iran.

Namun, seorang diplomat yang terlibat dalam rundingan tersebut menafikan dakwaan bahawa Iran menarik diri sepenuhnya. 

Menurutnya, delegasi Iran masih terlibat dalam rundingan dan tidak menunjukkan niat untuk meninggalkannya.

Terdahulu, Trump memberi amaran bahawa AS akan melancarkan serangan jika Iran tidak segera menghentikan sokongan kepada kumpulan proksinya di Lubnan.

Sebagai tindak balas, ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran bahawa tenteranya bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

“Mereka sepatutnya lebih berhati-hati dengan kenyataan mereka. Angkatan bersenjata kami bersedia memberi respons dengan cara yang berbeza,” katanya.

Rundingan dibayangi konflik Lubnan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula menegaskan tenteranya akan kekal di selatan Lubnan “selagi perlu” dan berikrar tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.

Media penyiaran Iran melaporkan program nuklear tidak dibincangkan dalam pusingan pertama rundingan selama 80 minit, sebaliknya tertumpu kepada pelaksanaan memorandum persefahaman serta situasi di Lubnan.

Naib Presiden AS, JD Vance sebelum ini menyifatkan rundingan tersebut sebagai “bersejarah” dan mempersoalkan sama ada kedua-dua pihak mampu membuka lembaran baharu dalam hubungan mereka.

“Bolehkah kita mengubah hubungan di Asia Barat secara kekal, atau kembali kepada pendekatan lama?” katanya.

Rundingan itu berlangsung ketika Iran sekali lagi menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan, sekali gus meningkatkan ketegangan serantau.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan, rundingan ke arah perjanjian muktamad hanya boleh diteruskan sekiranya konflik di Lubnan dihentikan sepenuhnya.

Walaupun memorandum persefahaman antara AS dan Iran merangkumi penamatan pertempuran antara Israel dan Hezbollah, pertempuran masih berulang sehingga mendorong Iran menutup semula laluan strategik itu.

Menjelang Ahad malam, tiada laporan serangan besar, dengan penduduk di selatan Lubnan mula pulang secara berhati-hati ke kediaman masing-masing.

Isu utama terus jadi penghalang

Selain konflik Lubnan, isu sokongan Iran terhadap kumpulan bersenjata serantau dilihat belum disentuh secara mendalam dalam rundingan.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan Tehran tidak akan melepaskan haknya untuk memperkaya uranium, tetapi sekali lagi menafikan negara itu berhasrat membangunkan senjata nuklear.

“Kami juga boleh menyatakan secara bertulis bahawa kami tidak berniat membina bom,” katanya.

Konflik antara Israel dan Hezbollah yang tercetus susulan serangan kumpulan itu terhadap Israel terus mengancam usaha damai di rantau tersebut.

Pada Jumaat, rundingan AS-Iran terpaksa ditangguhkan selepas Israel melancarkan serangan maut di Lubnan berikutan kematian empat tenteranya dalam pertempuran.

Ketua tentera Israel berkata, Hezbollah kini berada dalam keadaan “sangat tertekan” selepas menerima serangan hebat, dan pihaknya komited untuk menghalang kebangkitan semula kumpulan itu.

Jumlah korban di Lubnan kini melebihi 4,100 orang, menurut kementerian kesihatan negara itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement