WASHINGTON: Dua kapal dagang berbendera Amerika Syarikat (AS) telah melalui Selat Hormuz, menurut tentera AS pada Isnin, di tengah-tengah laporan mengenai serangan ke atas kapal di laluan air utama itu selepas Presiden Donald Trump mengumumkan operasi ketenteraan bagi membantu kapal-kapal meninggalkan rantau berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kapal pemusnah AS di Teluk kini "aktif membantu usaha untuk memulihkan transit bagi perkapalan komersial," kata Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menerusi platform X.
Advertisement
"Sebagai langkah pertama, dua kapal dagang berbendera AS telah berjaya melalui Selat Hormuz dan kini sedang menuju ke destinasi masing-masing dengan selamat," menurut kenyataan itu.
Insiden berkenaan berlaku selepas Trump mengumumkan permulaan operasi "Project Freedom" menerusi platform Truth Social miliknya, yang bertujuan untuk membantu kapal dagang keluar dari kawasan Teluk.
Bagaimanapun, kepimpinan tentera Iran telah mengancam untuk melancarkan serangan terhadap mana-mana kapal yang memasuki selat berkenaan.
CENTCOM sebelum ini menafikan laporan media Iran bahawa sebuah kapal AS telah terkena peluru berpandu yang dilepaskan oleh tentera Iran.
"Tiada kapal Tentera Laut AS yang terkena serangan. Pasukan AS sedang menyokong 'Project Freedom' dan menguatkuasakan sekatan tentera laut ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran," menurut hantaran itu.
-- BERNAMA-dpa