DUBAI: Kebakaran yang tercetus berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) susulan serangan dron pada awal pagi Isnin berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Namun, operasi penerbangan terpaksa digantung buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan, menurut pihak berkuasa Dubai.
Advertisement
Dalam kenyataan di platform X, Dubai Media Office memaklumkan bahawa insiden dron itu menjejaskan sebuah tangki bahan api di kawasan sekitar lapangan terbang.
Pasukan Pertahanan Awam Dubai bertindak pantas mengawal kebakaran sebelum ia merebak.
Syarikat penerbangan Emirates turut mengumumkan melalui X bahawa semua penerbangan ke dan dari Dubai digantung sementara sehingga diberi lampu hijau untuk beroperasi semula.
Negara‑negara Arab Teluk terus berdepan lebih 2,000 serangan peluru berpandu dan dron sejak tercetusnya perang AS‑Israel terhadap Iran pada 28 Februari, dengan sasaran meliputi misi diplomatik AS, pangkalan tentera, infrastruktur minyak penting, pelabuhan, lapangan terbang, hotel serta bangunan kediaman dan pejabat.
Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menormalisasi hubungan dengan Israel pada 2020, menjadi antara negara yang paling banyak menerima kesan serangan, namun seluruh negara Teluk turut terjejas dan semuanya telah mengecam tindakan Iran.
Pihak berkuasa UAE menegaskan bahawa sistem pertahanan udara negara berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang ancaman dan memastikan keselamatan serta kestabilan negara terus terjamin.