TEHRAN: Media kerajaan Iran melaporkan butiran draf memorandum persefahaman yang mengandungi 14 perkara antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Bagaimanapun, butiran berkenaan masih belum disahkan secara rasmi oleh kedua-dua negara.
Menurut agensi berita separa rasmi Mehr, antara perkara utama yang terkandung dalam draf itu termasuk:
- Gencatan senjata kekal dan serta-merta di semua medan, termasuk di Lubnan
- Komitmen AS untuk tidak mencampuri urusan dalaman Iran
- Penamatan sekatan tentera laut AS dalam tempoh 30 hari
- Pengunduran pasukan AS dari kawasan sekitar Iran
- Pembukaan semula Selat Hormuz dalam masa 30 hari di bawah pengaturan Iran
- Pelan pemulihan semula Iran oleh AS dan sekutunya bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion
- Penamatan sekatan terhadap sektor minyak dan tenaga Iran
- Penegasan semula komitmen Iran untuk tidak menghasilkan senjata nuklear
- Komitmen AS untuk tidak menambah kekuatan tentera di rantau itu serta tidak mengenakan sekatan baharu
Dalam masa sama, laporan itu turut menyatakan rundingan muktamad hanya akan dimulakan selepas beberapa syarat dipenuhi, termasuk pembebasan sekurang-kurangnya separuh daripada dana Iran yang dibekukan, penggantungan sekatan minyak serta penamatan sekatan tentera laut.
Perjanjian akhir itu, jika dimeterai, dilaporkan akan memerlukan kelulusan melalui resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Agensi