ISTANBUL: Menteri-menteri luar daripada beberapa negara Arab dan Islam pada Khamis menggesa Iran supaya segera menghentikan serangannya ke atas negara serantau susulan mesyuarat perundingan peringkat menteri.
Arab Saudi menjadi tuan rumah mesyuarat itu di Riyadh yang menghimpunkan menteri luar Azerbaijan, Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Lubnan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Syria, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu bagi membincangkan usaha menyokong keselamatan serta kestabilan serantau.
Advertisement
Anadolu Ajansi melaporkan para menteri dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu mengecam apa yang disifatkan sebagai serangan sengaja Iran menggunakan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan kawasan kediaman serta infrastruktur awam, termasuk kemudahan minyak, loji penyahgaraman, lapangan terbang, kompleks perumahan dan premis diplomatik.
Mereka menegaskan bahawa serangan sedemikian tidak boleh dibenarkan sama sekali serta mengesahkan hak setiap negara untuk mempertahankan diri selaras dengan Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Para menteri menggesa Iran supaya segera menghentikan serangannya dan menghormati undang-undang antarabangsa serta prinsip kejiranan baik sebagai langkah awal ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan serantau.
Mereka menyatakan bahawa masa depan hubungan dengan Iran bergantung kepada penghormatan terhadap kedaulatan negara, tidak campur tangan dalam urusan dalaman serta mengelak daripada melakukan ancaman terhadap negara jiran.
Kenyataan itu turut menggesa Iran supaya mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2817 (2026), menghentikan semua serangan dengan segera dan menahan diri daripada tindakan yang boleh mengancam pelayaran antarabangsa di Selat Hormuz atau keselamatan maritim di Selat Bab al-Mandeb.
Para menteri turut mengulangi sokongan terhadap kedaulatan, kestabilan dan keutuhan wilayah Lubnan, serta menyokong keputusan kerajaan Lubnan untuk memastikan senjata dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
Mereka juga mengecam serangan Israel ke atas Lubnan serta apa yang disifatkan sebagai dasar peluasan kuasa Israel di rantau itu.
Peserta mesyuarat bersetuju untuk meneruskan rundingan dan penyelarasan bagi menangani perkembangan semasa serta mengambil langkah perlu bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara masing-masing serta menghentikan serangan Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU