Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: PBB bimbang bekalan tenaga global terjejas

Threats of nuclear weapons use are 'the highest in decades' - UN chief_REUTERS
Dujarric berkata situasi semasa amat membimbangkan memandangkan kenaikan harga tenaga akan memberi kesan langsung kepada ekonomi global serta operasi organisasi antarabangsa itu. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan serius terhadap bekalan tenaga global susulan peningkatan konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perdagangan minyak utama dunia.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata situasi semasa amat membimbangkan memandangkan kenaikan harga tenaga akan memberi kesan langsung kepada ekonomi global serta operasi organisasi antarabangsa itu.

Advertisement

“Jika melihat perkembangan berita semasa, kita memang sangat, sangat bimbang. Kita tahu apabila harga tenaga, minyak atau bahan api fosil meningkat, ia memberi kesan langsung kepada semua perkara termasuk operasi PBB dalam dunia yang masih sangat bergantung kepada bahan api fosil,” katanya kepada pemberita di New York.

Kebimbangan itu timbul ketika Selat Hormuz, laluan sempit antara Iran dan Oman yang menjadi saluran kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia, berdepan gangguan serius.

Laluan strategik itu hampir terhenti selepas Iran dilaporkan menyerang enam kapal di kawasan tersebut, sekali gus menjejaskan pergerakan kapal tangki minyak melalui laluan tenaga penting itu.

Pada masa sama, beberapa kapal tangki minyak dilaporkan terus menjadi sasaran serangan di perairan Teluk pada Khamis ketika konflik semakin memuncak.

Situasi turut menjadi lebih tegang apabila dron Iran dilaporkan memasuki ruang udara Azerbaijan, menimbulkan kebimbangan krisis itu boleh merebak ke lebih banyak negara pengeluar minyak.

Sejak konflik tercetus, harga minyak global dilaporkan meningkat dengan ketara susulan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia.

 

 

Must Watch Video