Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Rundingan nuklear 60 hari bermula selepas AS lepaskan dana beku berbilion dolar - Iran

[TB]_Tehran Iran Generic 2_ADOBE STOCK
Iran memaklumkan, rundingan selama 60 hari antara Tehran dan Washington akan hanya dimulakan selepas Amerika Syarikat (AS) memenuhi beberapa komitmen utama, khususnya pembebasan dana Iran yang dibekukan bernilai berbilion dolar. - Gambar hiasan/ Adobe Stock

TEHRAN: Iran memaklumkan, rundingan selama 60 hari antara Tehran dan Washington akan hanya dimulakan selepas Amerika Syarikat (AS) memenuhi beberapa komitmen utama, khususnya pembebasan dana Iran yang dibekukan bernilai berbilion dolar.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata pada Ahad, rundingan itu yang dijangka bermula selepas pemeteraian memorandum persefahaman pada Jumaat depan, bergantung kepada pelaksanaan tiga syarat utama oleh AS.

Menurut beliau, syarat tersebut termasuk penamatan sekatan tentera laut, pengakhiran keadaan perang dan operasi ketenteraan, serta pembebasan dana Iran yang dibekukan.

“Penyertaan dalam rundingan 60 hari ini bergantung kepada pelaksanaan komitmen oleh AS,” katanya seperti dilaporkan media rasmi Iran.

Gharibabadi menjelaskan, rundingan teknikal melalui kumpulan kerja akan dimulakan serta-merta sebaik sahaja Iran mengesahkan pelaksanaan langkah-langkah berkenaan, khususnya berkaitan komitmen kewangan. 

Beliau turut memaklumkan, beberapa pengaturan awal telah dibincangkan, namun rundingan lanjut dijangka berlangsung di Switzerland selepas pemeteraian rasmi memorandum persefahaman.

Tambahnya, perbincangan tersebut akan meliputi struktur rundingan, penubuhan kumpulan kerja serta mekanisme lain yang diperlukan bagi memastikan kelancaran proses diplomatik. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement