Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Serangan dron Iran di Lapangan Terbang Kuwait, seorang maut, puluhan cedera

Kuwaiti officials inspect damage inside a terminal at Kuwait International Airport following a drone and missile attack, in Kuwait City, Kuwait, June 3, 2026. Kuwait News Agency/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY NO RESALES. NO ARCHIVES
Pegawai Kuwait memeriksa kerosakan di dalam sebuah terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait selepas serangan dron dan peluru berpandu, di Kuwait City, Kuwait. - Foto REUTERS

KUWAIT CITY: Seorang individu terbunuh manakala lebih 60 lagi cedera dalam serangan dron yang dilancarkan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait menyifatkan serangan itu sebagai “pencerobohan jenayah oleh Iran”, sementara Kementerian Luar memaklumkan beberapa misi diplomatik turut mengalami kerosakan.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai seorang warga India.

Dalam kenyataan rasmi, kementerian luar India mengecam serangan itu dan mengesahkan beberapa rakyatnya turut cedera, sambil menggesa semua pihak menghentikan tindakan keganasan.

Namun, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, dengan mendakwa kerosakan berpunca daripada kesilapan sistem pemintas peluru berpandu Amerika Syarikat (AS).

Dakwaan itu segera dinafikan oleh Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang menegaskan serangan ke atas lapangan terbang berkenaan adalah “tindakan sengaja, terancang dan tidak berasas” oleh Iran.

Ketegangan meningkat selepas IRGC sebelum ini menyatakan mereka menyasarkan pangkalan tentera AS di rantau Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas kapal tangki minyak Iran dan Pulau Qeshm.

AS pula memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan “pertahanan diri” terhadap Iran, selain memintas beberapa peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke arah Kuwait dan Bahrain.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut mendakwa menyasarkan sebuah kapal tentera laut AS di Teluk Oman, namun perkara itu turut dinafikan oleh CENTCOM.

Susulan serangan tersebut, Kuwait mengarahkan dua diplomat Iran meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam serta memanggil wakil diplomatik Iran bagi memberikan penjelasan.

Ketegangan terbaharu ini dilihat menggugat usaha gencatan senjata antara AS dan Iran, yang dilaporkan masih rapuh selepas rundingan damai gagal mencapai kemajuan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
 

 

Must Watch Video

Advertisement