Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Argentina harap magis Messi ulang sejarah

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Argentina Training - Sporting KC Training Centre, Kansas City, Kansas, U.S. - June 12, 2026 Argentina's Lionel Messi during training IMAGN IMAGES via Reuters/Kylie Graham
Messi menjalani latihan di Sporting KC Training Centre, Kansas City, pada 12 Jun 2026. - Gambar Reuters

KANSAS CITY: Argentina terus mengukuhkan sokongan terhadap Lionel Messi menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026, dengan rakan sepasukan menyifatkan kapten mereka itu sebagai pemain berjiwa kompetitif tinggi yang tidak pernah berpuas hati di atas padang.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata, seluruh dunia menanti untuk menyaksikan Messi kembali beraksi ketika juara bertahan itu memulakan kempen menentang Algeria.

Messi, 38, dijangka mencipta rekod dengan tampil dalam Piala Dunia keenam sepanjang kariernya, empat tahun selepas membantu Argentina menjuarai edisi di Qatar.

Penyerang Inter Miami itu sebelum ini berdepan kebimbangan kecederaan akibat masalah otot, namun kembali menunjukkan prestasi meyakinkan apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dalam perlawanan pemanas badan terakhir menentang Iceland.

Scaloni menegaskan, Messi kekal tonggak utama pasukan dan akan memainkan peranan lebih besar dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

Pertahanan berpengalaman, Nicolas Otamendi, yang sekian lama bergandingan dengan Messi di peringkat antarabangsa, menggambarkan kapten itu sebagai pemain dengan mentaliti luar biasa.

“Dia seorang pemain yang mempunyai jiwa kompetitif tinggi. Dia sentiasa mendorong rakan sepasukan untuk terus berusaha dan tidak membenarkan sesiapa berasa selesa,” katanya.

Otamendi turut memuji sikap rendah diri Messi di luar padang serta keupayaannya menyatukan pasukan dalam setiap sesi latihan dan perjumpaan.

Argentina bagaimanapun, tidak mahu memandang ringan cabaran Algeria, dengan Scaloni mengingatkan bahawa tiada perlawanan mudah dalam Piala Dunia.

Katanya, pengalaman edisi lalu membuktikan perlawanan pembukaan bukan penentu hala tuju kejohanan, namun tetap penting untuk memulakan kempen dengan langkah positif.

Argentina sebelum ini tewas dalam aksi pertama pada Piala Dunia 2022 tetapi bangkit untuk muncul juara, dan kini hadir ke edisi kali ini dengan keyakinan tinggi serta prestasi semasa yang memberangsangkan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement