KUALA LUMPUR: Tekanan daripada negara-negara perantara dalam rundingan Memorandum Persefahaman antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah membuahkan hasil yang lebih baik dan meyakinkan berbanding rundingan-rundingan sebelum ini.
Prof. Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Kamaruzaman Yusoff berkata AS juga telah menunjukkan kesediaan untuk memenuhi beberapa komitmennya dalam MoU tersebut.
"Pada masa ini, mungkin kerana tekanan daripada beberapa pihak; Qatar, Pakistan, Turkiye dan Arab Saudi, menjadikan Memorandum Persefahaman (MoU) kali ini jadi lebih baik, lebih meyakinkan sekali gus beri ruang lebih besar kepada Iran untuk menentukan syarat-syarat yang diperlukan oleh Iran terutamanya melibatkan pembukaan semula Selat Hormuz.
“Amerika Syarikat juga telah bersedia untuk mengeluarkan semua tentera dan kapal-kapal yang menyekat pergerakan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Dalam temu bual sama, Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpandangan sekiranya MoU ini membawa kepada pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz, ia dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi lebih rancak bagi separuh kedua tahun ini.
"Apabila harga minyak, kos insurans, dan kos logistik turun, maka kos pengeluaran dan operasi untuk negara-negara yang bergantung kepada bekalan minyak ini juga akan berkurangan. Ini memberi ruang kepada potensi pertumbuhan ekonomi.
“Saya lihat, jika kita banding separuh pertama tahun ini yang penuh dengan ketidaktentuan. Jika benar pembukaan Selat Hormuz memboleh penghantaran minyak yang lebih stabil dan selamat, saya lihat ini ruang untuk separuh kedua tahun ini menjadi pemacu ekonomi,” jelasnya.
Untuk konteks, Pegawai Iran dan AS dijangka menandatangani memorandum berkenaan di Switzerland pada Jumaat susulan rundingan antara kedua-dua negara yang bertujuan menamatkan konflik serantau yang berlarutan selama beberapa bulan serta meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
Agenda AWANI: Impak perjanjian damai AS-Iran