Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump ancam serangan baharu ketika rundingan damai AS-Iran bermula di Switzerland

U.S. Vice President JD Vance looks on next to U.S. President Donald Trump's son-in-law Jared Kushner, as Iran's Foreign Minister Abbas Araqchi shakes hands with Pakistan's Prime Minister Shehbaz Sharif, before the start of a quadrilateral meeting between the U.S., Iran, Pakistan, and Qatar at the Lake Lucerne Summit, aimed at advancing a deal to end the Middle East conflict, at Buergenstock Resort Lake Lucerne, near Stansstad, Switzerland, June 21, 2026. REUTERS/Nathan Howard/Pool
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berjabat tangan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sebelum bermulanya mesyuarat empat hala melibatkan AS, Iran, Pakistan dan Qatar di Sidang Kemuncak Tasik Lucerne, Switzerland. - Gambar Reuters
Advertisement

BUERGENSTOCK, SWITZERLAND: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mengancam untuk melancarkan semula perang dengan Iran, ketika Naib Presiden AS, JD Vance mengadakan pertemuan dengan pegawai Iran dalam rundingan pertama di bawah perjanjian damai sementara.

Rundingan yang berlangsung di resort pergunungan milik Qatar di Buergenstock, Switzerland itu merupakan yang pertama diadakan selepas memorandum persefahaman dicapai minggu lalu bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara, sekali gus melanjutkan gencatan senjata rapuh sejak April sekurang-kurangnya 60 hari lagi.

Perjanjian berkenaan turut menggariskan pembukaan semula Selat Hormuz – laluan strategik penghantaran tenaga global – serta penamatan semua permusuhan, termasuk di Lubnan, di mana Israel masih melancarkan serangan maut manakala sekutu Iran, Hezbollah, terus menyerang sasaran Israel.

Namun, keadaan menjadi tegang selepas Tehran mengumumkan ia sekali lagi menutup Selat Hormuz. 

Iran mendakwa AS gagal menunaikan komitmen untuk menghentikan pertempuran di Lubnan dan menyatakan rundingan pada Ahad tidak akan menyentuh isu substantif seperti program nuklearnya.

“Iran mesti segera menghentikan proksi mereka di Lubnan daripada mencetuskan masalah,” kata Trump menerusi media sosial, merujuk kepada Hezbollah.

“Jika tidak, kami akan menyerang Iran dengan lebih keras, seperti yang kami lakukan minggu lalu.”

Dalam satu wawancara televisyen, Trump dilaporkan turut memberi amaran bahawa jika Iran menutup selat itu sepenuhnya, negara tersebut berdepan risiko kehilangan kedaulatannya, selain mengugut untuk mengambil alih laluan tersebut.

Sementara itu, dalam rundingan di Switzerland yang disertai pengantara Qatar, Vance meredakan kebimbangan terhadap keganasan di Lubnan dengan menyatakan kemajuan telah dicapai ke arah menamatkan konflik.

“Perkara seperti ini memang sentiasa kompleks,” katanya.

Walaupun Trump mengeluarkan ancaman, Vance berkata, Presiden AS itu turut mengarahkan delegasi untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan dengan rakyat Iran.

Kedua-dua pihak bagaimanapun tidak mengadakan sesi bergambar bersama. 

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dilihat hanya sempat memasuki bilik rundingan untuk bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang bertindak sebagai pengantara, tanpa interaksi terbuka dengan Vance.

Seorang diplomat AS dilaporkan berkata, rundingan menunjukkan kemajuan positif dalam usaha memastikan Selat Hormuz kekal dibuka, selain menumpukan kepada pelaksanaan gencatan senjata di Lubnan dan isu perjanjian nuklear.

Iran jadikan Lubnan alasan tutup selat

Walaupun gencatan senjata baharu diumumkan di Lubnan pada Jumaat, pertempuran masih berterusan. 

Iran pada Sabtu menegaskan penutupan semula Selat Hormuz susulan kegagalan menghentikan konflik di negara itu.

Penutupan hampir empat bulan sebelum ini menyebabkan gangguan terbesar kepada bekalan tenaga global dalam sejarah.

Bagaimanapun, pegawai AS menafikan selat tersebut ditutup sepenuhnya, walaupun data perkapalan menunjukkan impak segera terhadap trafik maritim.

Hanya sebuah kapal tangki kecil dilaporkan melalui laluan tersebut selepas pengumuman Iran, berbanding puluhan kapal pada hari-hari sebelumnya. 

Agensi berita Fars memetik sumber tentera sebagai berkata, tiada permit baharu dikeluarkan untuk kapal melintasi selat itu sehingga dimaklumkan kelak.

Pengumuman penutupan dibuat pada hujung minggu ketika pasaran ditutup, menyebabkan kesan terhadap harga minyak hanya dijangka dapat dilihat pada Isnin.

Trump sebelum ini menyatakan beliau bersetuju dengan memorandum persefahaman minggu lalu bagi mengelakkan kemelesetan ekonomi global akibat lonjakan harga minyak. 

Harga minyak bagaimanapun jatuh sepanjang minggu lalu ke paras terendah sejak konflik bermula pada 28 Februari.

Harapan pemulihan ekonomi melalui rundingan

Memorandum tersebut memperuntukkan tempoh rundingan selama 60 hari, termasuk isu sekatan terhadap program nuklear Iran sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan antarabangsa.

Sebelum penyelesaian muktamad dicapai, Iran dijangka memperoleh manfaat ekonomi awal seperti pengecualian sekatan dan pembebasan aset yang dibekukan.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian optimis bahawa rundingan dengan AS mampu menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan ekonomi negara itu, dengan keutamaan utama adalah mendapatkan semula akses kepada aset yang dibekukan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, kegagalan Washington menjamin gencatan senjata di Lubnan menyebabkan rundingan kali ini hanya tertumpu kepada pelaksanaan memorandum, bukan isu mendasar.

Di Lubnan, keadaan pada Ahad dilihat lebih tenang tanpa laporan keganasan besar menjelang malam selepas dua hari serangan hebat Israel dan tembakan balas Hezbollah.

Lebih sejuta penduduk telah meninggalkan kediaman mereka sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan pada Mac bagi memburu pejuang Hezbollah.

Namun, wartawan di selatan Lubnan melaporkan peningkatan pergerakan kenderaan apabila penduduk mula pulang ke kediaman masing-masing, malah ada yang melambaikan bendera Hezbollah di sepanjang lebuh raya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement