Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump batalkan lawatan delegasi Amerika ke Pakistan

President Donald Trump arrives at Palm Beach International Airport in West Palm Beach, Florida on Friday. Manuel Balce Ceneta/AP
Presiden Trump membatalkan secara mengejut lawatan delegasi negara itu ke Pakistan yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, sekali gus menjejaskan usaha rundingan damai berkaitan konflik Iran. - Gambar AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan secara mengejut lawatan delegasi negara itu ke Pakistan yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, sekali gus menjejaskan usaha rundingan damai berkaitan konflik Iran.

Delegasi itu, yang sepatutnya diketuai oleh utusan khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff, serta menantu Trump, Jared Kushner, dijadualkan ke Islamabad bagi perbincangan tidak langsung dengan wakil Iran, dengan Pakistan bertindak sebagai perantara diplomatik.

Advertisement

Trump berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau menganggap perjalanan jauh selama hampir 18 jam ke Pakistan sebagai pembaziran masa, selain mendakwa wujud perpecahan dalaman dan kekeliruan kepimpinan dalam kerajaan Iran.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menegaskan bahawa Amerika Syarikat berada pada kedudukan lebih kukuh dalam rundingan tersebut dan menyatakan Iran boleh menghubungi Washington secara langsung sekiranya benar-benar mahu berunding.

Pembatalan itu dibuat selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, meninggalkan Islamabad tanpa mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan wakil Amerika Syarikat, sekali gus bercanggah dengan kenyataan awal White House yang menjangkakan rundingan secara langsung akan berlaku.

Iran sebelum ini menegaskan, tiada pertemuan langsung dirancang dengan pegawai AS dan semua pandangannya hanya akan disalurkan melalui pihak Pakistan. 

Situasi itu mencerminkan ketidaktentuan dan kerapuhan proses diplomasi ketika konflik ketenteraan masih berterusan di rantau Asia Barat.

Penganalisis antarabangsa melihat langkah Trump ini sebagai petunjuk bahawa pentadbiran AS mungkin lebih cenderung mengekalkan tekanan ketenteraan dan ekonomi ke atas Iran berbanding mempercepatkan rundingan damai. - Agensi

Must Watch Video