Skip to main content

Malaysia

Lebih 30 rumah rosak, 70 pokok tumbang akibat ribut di Hilir Perak

Perak hantar - HUJAN RIBUT: LEBIH 30 RUMAH TERJEJAS, 70 POKOK TUMBANG DI HILIR PERAK_Astro AWANI
Kerja-kerja operasi membersihkan pokok tumbang sedang giat dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak. - Astro AWANI

IPOH: Sekurang-kurangnya 34 buah rumah terjejas ekoran hujan lebat disertai ribut yang menyebabkan banyak pokok tumbang di mukim Sungai Manik dalam Daerah Hilir Perak, mulai petang Sabtu.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Hilir Perak, Angkatan Pertahananan Awam Malaysia (APM memaklumkan, pihaknya menerima laporan lebih 70 pokok tumbang.

Advertisement

Menurutnya, mereka mula menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 6 petang.

Dalam kenyataannya, jurucakap itu berkata, punca kejadian disebabkan berlaku hujan beserta angin kencang di sekitar Daerah Hilir Perak bermula jam 5.56 petang.

Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah Parit 7A dan B, Parit 9A dan B, Parit 12B, Parit 1A, Parit 10A, Parit 5B, Parit 8A dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah, Chenderong Balai.

Katanya, sehingga tengah malam tadi, rumah-rumah yang terjejas ialah di Kg Permatang sebanyak 14 buah, Kg Sg Tungku (3), Kg Sg Keroh (7) dan Kg Sg Batu (10).

Bagaimanapun, ujarnya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat tengah malam.

Kerja-kerja operasi membersihkan pokok tumbang sedang giat dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak. 

Must Watch Video