Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump bertegas tolak gencatan senjata, Khamenei sambut Nowruz dengan amaran keras

Sumber: REUTERS
Trump menegaskan bahawa beliau “tidak mahu melakukan gencatan senjata”, sambil mendakwa pasukan gabungan AS-Israel sedang “menghancurkan pihak lawan”.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menolak sebarang usaha ke arah gencatan senjata dengan Iran, sambil menggelar sekutu NATO sebagai “pengecut” kerana enggan menyokong operasi ketenteraan diterajui AS di rantau itu.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan semakin meningkat, dan pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, menyampaikan mesej tegas sempena sambutan Tahun Baru Parsi, Nowruz.

Advertisement

Dalam sidang media terbaru, Trump menegaskan bahawa beliau “tidak mahu melakukan gencatan senjata”, sambil mendakwa pasukan gabungan AS-Israel sedang “menghancurkan pihak lawan”.

Beliau turut menyifatkan NATO sebagai “harimau kertas” tanpa kehadiran AS.

Kenyataan itu hadir selepas beberapa laporan sebelum ini menunjukkan Trump konsisten menolak sebarang rundingan damai, termasuk desakan daripada sekutu Asia Barat untuk memulakan dialog.

Dalam mesej sempena Nowruz, Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, berkata Iran telah memberikan “tamparan yang hebat” kepada musuh-musuhnya, sambil menegaskan serangan AS-Israel ke atas negara itu merupakan “kesilapan besar”.

Kenyataan tersebut dibuat ketika Tehran terus mengulangi pendirian bahawa mereka tidak menuntut gencatan senjata dan bersedia mempertahankan diri sepenuhnya.

Ketegangan geopolitik semakin merebak apabila Sri Lanka menolak permintaan AS untuk membenarkan dua jet pejuang mendarat di negara itu.

Dalam masa sama, Switzerland menggantung semua eksport senjata ke AS berikutan perang tersebut.

Langkah beberapa negara itu dilihat sebagai usaha mengelakkan diri daripada terlibat dalam konflik yang semakin meruncing.

Serangan udara AS dan Israel ke atas Iran serta Lebanon dilaporkan berlanjutan walaupun berjuta-juta umat Islam di Asia Barat sedang meraikan Aidilfitri, dan Iran menyambut Nowruz.

Sementara itu, lebih banyak letupan dan serangan dilaporkan di beberapa kawasan strategik, termasuk Tehran, ketika konflik memasuki minggu-minggu genting. 
 

Must Watch Video