WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mendakwa, negaranya mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi kepada aliran bekalan tenaga global dan berikrar akan terus mengekalkan penguasaan tersebut.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, AS kini menguasai sepenuhnya selat berkenaan dan menyifatkan sekatan laut yang dilaksanakan Washington sebagai “Tembok Keluli” yang tidak mampu dicabar oleh Iran.
“AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya fikir kami akan terus mengekalkannya.
"Sekatan laut kami kini digelar oleh semua pihak sebagai ‘Tembok Keluli’ dan tiada apa yang boleh dilakukan Iran mengenainya,” katanya.
Trump sejak kebelakangan ini berulang kali mendakwa AS menguasai Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting bagi penghantaran minyak, gas asli dan pelbagai komoditi lain merentasi Asia Barat.
Bagaimanapun, Iran menolak dakwaan tersebut dan menegaskan ia masih mempunyai kawalan efektif ke atas sebahagian besar perairan itu.
Tehran juga dilaporkan berhasrat memperkenalkan sistem tol ke atas kapal yang menggunakan laluan berkenaan sebagai tindak balas terhadap perang yang tercetus sejak 28 Februari lalu.
Pada Selasa, Trump sekali lagi mengulangi pendiriannya ketika bercakap kepada pemberita dengan mendakwa AS mempunyai penguasaan penuh ke atas selat tersebut.
“Kami mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz sekarang. Mereka tidak menguasainya. Kami menguasainya sepenuhnya. Ia milik kami,” katanya.
Konflik yang kini menghampiri tempoh enam bulan menyaksikan AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas aset ketenteraan Iran serta beberapa pemimpin tertinggi negara itu.
Kempen tersebut pada awalnya bertujuan menekan Tehran supaya menghentikan program nuklearnya selain mendorong perubahan rejim.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di rantau berkenaan, Israel serta beberapa sasaran di negara-negara Teluk yang bersekutu dengan Washington.
Menurut laporan, antara tindakan paling berkesan Iran setakat ini ialah mengganggu pergerakan kapal dagang di Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan aliran perdagangan global dan meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi dunia.
Dalam masa sama, Trump dilihat mengendurkan ancaman untuk memperhebatkan konflik tersebut ketika berdepan kemerosotan populariti menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS pada November ini.
Keadaan itu menyebabkan konflik berkenaan terus berada dalam kebuntuan tanpa sebarang kemenangan muktamad bagi mana-mana pihak.
Walaupun begitu, Trump berkata, AS bersedia memberi tumpuan kepada strategi menyekat pelabuhan-pelabuhan Iran sebagai sebahagian daripada pendekatan yang disifatkannya lebih terkawal.
“Kami hanya berunding secara separa dengan mereka. Kami hanya memerhatikan Iran yang berdepan inflasi tinggi dan kekurangan dana,” katanya dalam satu wawancara pada Ahad. - Agensi