Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: UK sedia sokong Riyadh - Starmer

41769118476_KeirStarmer.jpg
Starmer memaklumkan bahawa Britain telah menghantar jet pejuang tambahan, helikopter dan sebuah kapal pemusnah ke Asia Barat sebagai langkah kesiapsiagaan. - Foto fail/AP

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, telah mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, susulan konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Downing Street, Starmer memaklumkan bahawa Britain telah menghantar jet pejuang tambahan, helikopter dan sebuah kapal pemusnah ke Asia Barat sebagai langkah kesiapsiagaan.

Advertisement

Beliau menegaskan bahawa UK “sedia menyokong” pertahanan Riyadh jika diperlukan.

Selain komitmen ketenteraan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha untuk meningkatkan perkongsian risikan, langkah yang dilihat penting dalam menyokong operasi pertahanan serta melindungi orang awam di rantau tersebut.

Perbualan antara Starmer dan Putera Mohammed bin Salman berlaku ketika ketegangan semakin meningkat berikutan serangan Iran dan tindak balas ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) serta Israel, menjadikan negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi, berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Langkah British menghantar aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat menunjukkan komitmen London untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menstabilkan keadaan serantau, terutama ketika beberapa negara Teluk menghadapi ancaman serangan dron dan peluru berpandu.

Penganalisis antarabangsa berpendapat bahawa sokongan UK kepada Riyadh memberi isyarat jelas bahawa negara itu melihat Arab Saudi sebagai rakan strategik dalam mengurangkan ketegangan yang semakin merebak di seluruh Asia Barat.
 

Must Watch Video