NEW YORK: Pejabat Belanjawan Kongres Amerika Syarikat (CBO) menganggarkan bahawa setakat 1 Ogos 2026, konflik dengan Iran menyebabkan Jabatan Pertahanan menanggung kos kira-kira AS$38 bilion.
Jumlah itu merangkumi kos menggantikan peluru yang telah digunakan dan peralatan yang musnah dalam pertempuran, peningkatan waktu penerbangan, operasi lain serta kos bahan api yang lebih tinggi.
Menurut CBO, fasa sengit konflik itu berlangsung agak singkat, iaitu hanya lebih sebulan, manakala bilangan tentera AS yang terlibat juga lebih kecil berbanding operasi di Iraq dan Afghanistan yang jauh lebih besar dan berpanjangan.
Anggaran itu tidak termasuk kos yang ditanggung bahagian lain kerajaan persekutuan dan kos yang telah diperuntukkan dalam belanjawan persekutuan, seperti kos operasi asas tentera yang terlibat dalam konflik berkenaan.
CBO menganggarkan bahawa sekiranya intensiti pertempuran kekal rendah, setiap bulan tambahan konflik akan menelan kos AS$2 bilion, manakala jika konflik semakin sengit, kos bulanan akan melonjak kepada AS$3 bilion.
Kos bulanan boleh meningkat lebih tinggi sekiranya pertempuran terus memuncak.
CBO menganggarkan kesan ekonomi utama perang Iran ialah tekanan inflasi akibat pengurangan penghantaran minyak dan gas asli melalui Selat Hormuz serta gangguan terhadap perkapalan melalui Laut Merah.
Menurut penilaian CBO, dalam keadaan harga tenaga yang lebih tinggi, inflasi Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada asas tahun ke tahun dijangka 0.5 mata peratusan lebih tinggi pada suku pertama 2027 berbanding unjuran pada Februari 2026, manakala inflasi teras PCE dijangka 0.3 mata peratusan lebih tinggi daripada unjuran sebelumnya.
Agensi bebas itu menganggarkan kadar inflasi yang lebih tinggi akan mendorong peningkatan kadar faedah sekuriti Perbendaharaan. Kadar faedah bil Perbendaharaan tiga bulan dijangka hampir 0.2 mata peratusan lebih tinggi pada 2026 berbanding anggaran pada Februari.
Menjelang separuh pertama 2027, kadar itu dijangka kurang 0.1 mata peratusan lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya.
CBO memaklumkan pihaknya tidak dapat menganggarkan kemungkinan kos tambahan konflik berkaitan operasi diplomatik dan bantuan asing kerana kos berkenaan bergantung pada hasil konflik itu.
-- BERNAMA-XINHUA