KAHERAH: Mesir bersedia memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan Arab Saudi bagi mempertahankan keselamatan dan kestabilannya ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman memperhebat serangan terhadap negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi meminta satu sidang tergempar Parlimen diadakan bagi memberi kebenaran kepada angkatan tenteranya, antara yang terbesar di dunia Arab, untuk membantu mempertahankan Arab Saudi sekiranya Riyadh meminta bantuan.
Undian Parlimen bagi memberi kebenaran terhadap permohonan sokongan ketenteraan itu pada awalnya dijangka berlangsung pada Ahad.
Bagaimanapun, dua anggota Parlimen serta laporan media tempatan berkata perbincangan berhubung perkara itu akan diteruskan pada Isnin.
Houthi tingkat serangan ke atas Arab Saudi
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Houthi melancarkan serangan terhadap lapangan terbang antarabangsa Riyadh dan syarikat minyak negara Saudi Aramco.
Serangan berlaku ketika pertempuran dengan pasukan yang disokong Arab Saudi dan berpihak kepada kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa kembali tercetus susulan keruntuhan gencatan senjata.
“Mesir akan menyediakan kepada Arab Saudi segala bentuk sokongan yang diperlukan dan termampu bagi mempertahankan keselamatan dan kestabilannya, melindungi sumbernya, keutuhan wilayah serta tapak suci Islam,” menurut kenyataan pejabat Presiden Mesir.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Pertahanan Negara Mesir yang dipengerusikan Sisi dan turut dihadiri Speaker Parlimen, Perdana Menteri serta panglima tentera.
Dalam ucapannya pada Sabtu, Sisi berkata, Mesir akan bertindak selaras dengan panduan Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang mengunjunginya pada 15 September selepas pertempuran di Yaman kembali tercetus.
Mesir dan Arab Saudi mempunyai hubungan strategik serta ekonomi yang rapat.
Arab Saudi bersama beberapa negara Teluk yang kaya dengan minyak sebelum ini menyalurkan bantuan bernilai berbilion dolar, deposit bank pusat serta pelaburan kepada Mesir susulan penggulingan Presiden Mohamed Morsi oleh tentera pada 2013.
Mesir juga pernah menyertai pakatan diketuai Arab Saudi yang campur tangan dalam konflik Yaman pada 2015 bagi menyokong kerajaan negara itu dalam menentang Houthi.
Bagaimanapun, Mesir memainkan peranan tempur yang terhad dalam operasi berkenaan. - Agensi